Saturday, December 11, 2010

Pasukan Hazmat Diperluas Ke Seluruh Negara Mulai Tahun Depan

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) akan diperluas ke seluruh negara bermula tahun depan, berikutan peningkatan kes kemalangan membabitkan bahan berbahaya setiap tahun.

Pada masa ini negeri yang mempunyai pasukan Hazmat ialah Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu serta sebuah di Akademi Bomba dan Penyelamat yang digunakan untuk tujuan latihan.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata langkah itu dilihat perlu bagi memastikan situasi kemalangan seumpama dapat dikawal dengan pantas.

"Jumlah kemalangan termasuk kebocoran gas di kilang, kini mencecah angka 500 kes berbanding sebelum ini iaitu antara 100 ke 200 kes saja," katanya a selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, di Seremban kelmarin.

Beliau berkata anggota Hazmat sedia ada di negeri-negeri berkenaan juga akan ditambah jika didapati mereka memerlukannya.

"Saya melihat penambahan Hazmat ini adalah satu keperluan kerana baru-baru ini terjadi lagi kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka yang membabitkan treler membawa tong berisi asid nitrik," katanya.

Merujuk kemalangan itu, beliau turut menasihatkan pemandu yang membawa bahan berbahaya agar menggunakan lebuh raya pada waktu kurang sesak bagi mengurangkan impak kepada pengguna lain.

No comments:

Post a Comment