Friday, December 17, 2010

'Pembohong Bersiri', 'Bapak Penipu' Hangatkan Sidang DUN Terengganu

Dua ADUN PAS yang mengeluarkan kata kesat terhadap Ahmad Said dan Tengku Putera selepas Dr Syed Azman dilabelkan 'pembohong bersiri'.

Sesi penggulungan Bajet Persidangan Dewan Undangan Negeri Terenggganu Kali ke-12 semalam panas dengan pertikaman lidah antara wakil pembangkang, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said serta Yang diPertua Dewan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Dua ADUN PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Burok) dan Wahid Endut (Wakaf Mempelam) mereka menuduh Tengku Putera sebagai ‘berat sebelah’ dan memihak kepada kerajaan negeri.

Keadaan menjadi benar-benar panas apabila Ahmad Said menggelarkan sebagai Dr Syed Azman ‘pembohong bersiri’ berikutan beberapa isu yang dibangkitkan dalam dewan termasuk mengenai penempatan semula penduduk Kampung Tok Perah, Ladang di Pangsapuri Ladang Gemilang adalah tidak tepat.

''Saya mempunyai bukti Yang Berhormat (Syed Azman) pembohong bersiri. Memorandum tersebut hanya ditandatangani oleh sejumlah penduduk yang merupakan orang Pas sahaja manakala yang lain hanya ada nama sahaja. Ini pembohongan pertama," katanya ketika sesi penggulungan pembentangan Bajet 2011.

Syed Azman kemudian bangun membantah bahasa yang digunakan oleh Menteri Besar dengan menyatakan jika ia dibenarkan, beliau juga akan gunakannya.

Dr Syed Azman meminta Ahmad menarik balik perkataan itu tetapi apabila Ahmad terus menggelarkannya dengan panggilan itu, Syed Azman turut melemparkan beberapa perkataan seperti 'bapak penipu dan penipu besar' kepada Menteri Besar.

"Saya rasa kecewa kerana Adun Batu Burok lulusan hebat, tetapi tak menggambarkan kebijaksanaannya...Minta maaf kalau saya anggap wakil Batu Burok ni pembohong bersiri.

"Mereka sengaja menggunakan nama 170 orang tanpa dapat restu penduduk yang tinggal di Pangsapuri Ladang Gemilang dan ini dilakukan oleh enam orang PAS yang tidak akan berpuas hati walaupun gunung kita berikan," katanya.

Beliau merujuk kepada penyerahan memorandum bantahan penduduk Kampung Tok Perah, Ladang berhubung penempatan semula penduduk ladang di Pangsapuri Ladang Gemilang di Kuala Terengganu yang dibantu oleh Dr. Syed Azman Syed.

Ahmad Said menjelaskan, memorandum yang dihantar kepada beliau semalam yang didakwa oleh 170 penduduk kawasan berkenaan kerana tidak berpuashati mengenai soal pengambilalihan tanah sebenarnya tidak benar kerana hanya mempunyai nama tanpa tandatangan.

Beliau menambah, pembohongan kedua dilakukan oleh Dr Syed Azman apabila beliau menuduh projek pembinaan tempat letak kereta itu telah ditolak oleh Pulau Pinang selepas menghubungi Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Menteri Besar merujuk kepada penolakan projek pembinaan kompleks tempat letak kereta bertingkat bernilai RM4.2 juta di Batas Baru di Kuala Terengganu oleh negeri-negeri lain selain tuduhan projek-projek di negeri ini diberikan kepada 'kroni' Menteri Besar.

"Saya juga menghubungi Guan Eng dan beliau menyatakan Syed Azman tidak menghubunginya mengenai perkara itu.

"Dia (Syed Azman) ingat saya tak kenal Guan Eng. Saya tanya ada orang menghubungi Guan Eng berhubung tempat letak kereta: Dia kata, tidak ada dan saya tak ingat dan mungkin pegawai saya, saya tak tahu. ADUN Batu Burok? Dia kawan saya. Dia juga tak hubungi saya berhubung perkara itu setakat ini," katanya.

Ahmad kemudian mencabar Dr Syed Azman untuk bersumpah dan kemudian wakil Batu Burok itu bangun bersumpah bahawa beliau ada menghubungi Guan Eng.

Ahmad menerangkan, kompleks tempat letak kereta berkenaan dibina di Batas Baru amat bersesuaian kerana tanah di lokasi berkenaan yang amat terhad.

''Saya sudah beri penjelasan semalam. Tanah kita terhad, Tempat letak kereta terhad. Jadi kita buat tempat letak kereta bertingkat.

''Ini susah, bila tak ada tempat letak kereta marah kerajaan , bila kita buat tempat letak kereta bertingkat kata maju sangat. Buat salah, tak buat pun salah," katanya.
Dewan kemudian meluluskan usul Bajet dan persidangan dewan ditangguh hingga ke suatu masa yang ditetapkan.


Tengku Putera berusaha menenangkan wakil pembangkang.

No comments:

Post a Comment