Wednesday, December 1, 2010

PMINT diminta berperanan bangunkan Tasik Kenyir

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) diminta memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha kerajaan untuk membangunkan Tasik Kenyir dengan kewujudan kawasan bebas cukai.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, PMINT boleh membantu mempercepatkan proses pembangunan di kawasan berkenaan termasuk dengan rangkaian hotel dan lot-lot kedai.

Beliau yakin dengan keupayaan PMINT yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti hartanah, pelancongan dan pertanian, proses pembangunan dapat berjalan mengikut perancangan.

"Terserah kepada PMINT untuk memajukan secara sendiri atau kerjasama dengan pelabur dari luar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam PMINT.

Pada majlis di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, malam kelmarin, beliau menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan perbadanan itu.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT berkata, tempoh untuk memajukan kawasan bebas cukai itu agak singkat iaitu 18 bulan hingga dua tahun.

Kerajaan negeri berharap usaha mewujudkan kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berjalan lancar mengikut tempoh ditetapkan itu.

Sementara itu, di majlis yang sama turut diadakan penyampaian Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) kepada PMINT.

PMINT berjaya mendapatkan persijilan ini di dalam tempoh hanya empat bulan hasil kerjasama yang erat dan komitmen kakitangannya.

No comments:

Post a Comment