Thursday, December 16, 2010

Riyapadu Ditamatkan Kontrak Kerana Gagal Bayar Premium?

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kini menyalahkan Syarikat Riyapadu Sdn. Bhd yang menurutnya gagal membayar premium pembalakan mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan dalam perjanjian tersebut.

Bekas Exco Kerajaan Negeri ketika PAS memerintah Terengganu (1999=2004) itu mempertahankan tindakannya menamatkan kontrak konsesi pembalakan yang diberikan kepada ketika memerintah kerajaan Terengganu pada satu sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu di Kuala Terengganu Isnin lalu.

Katanya, syarikat berkenaan gagal membayar premium pembalakan mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan dalam perjanjian tersebut.
Dengan kata lain, Riyapadu gagal membayar premium ditetapkan dalam perjanjian meski pun kerja pembalakan diteruskan.

“Selepas ditawarkan ada penjanjian. Bayaran premium kena bayar ikut jadual yang dipersetujui dan ditetapkan dalam perjanjian itu. Selepas itu, diberi lesen dan balak dikeluarkan.

“Kita ikut perjanjian dan sampai suatu masa yang sepatutnya Riyapadu ini membayar premium mengikut peringkat-peringkat yang telah ditetapkan dalam perjanjian. Dia gagal, dia tidak bayar. Premium itu tidak dibayar tetapi balak dikerjakan,” ujarnya.

Menurut Mustafa tindakan itu kerana mahu mempertahankan hak dan harta rakyat dari diceroboh kerana tanggungjawab PAS terhadap rakyat serta amanah kepada Allah SWT.

Mustafa mendakwa telah berlaku pelanggaran kepada syarat-syarat perjanjian kontrak yang dibuat antara kerajaan negeri Terengganu dengan syarikat Riyapadu Sdn. Bhd.

“Kita hendak mempertahankan harta rakyat, balak ini harta rakyat. Kita tidak boleh membiarkan dia (Riyapadu) mengerjakan balak dengan premium tidak dibayar mengikut jadual.

“Ini akan merugikan rakyat, kerana kita bertanggungjawab kepada rakyat, amanah kita dengan Allah SWT kita tidak boleh buat main-main.

“Keputusan itu dibuat dengan pandangan Penasihat Undang-undang Negeri. Ini kerana, telah berlaku pelanggaran kepada syarat-syarat perjanjian kontrak yang dibuat antara kerajaan negeri Terengganu dengan Syarikat Riyapadu Sdn. Bhd,” jelasnya.

Kita tunggu jawapan Riyapadu.

No comments:

Post a Comment