Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn Bhd (TADC), anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), menjangka mengeluarkan 100 tan metrik ikan air tawar sebulan pada tahun depan, sekaligus mampu memenuhi permintaan ikan air tawar di seluruh negara.
Pengerusinya, Razali Idris berkata TADC merancang menggandakan pengeluaran ikan di Tasik Kenyir sehingga 12,000 tan metrik setahun, berbanding 500 metrik tan setahun sekarang ini.
Ikan yang akan dihasilkan ialah patin, talapia merah, talapia hitam, patin, keli, baung dan siakap, yang buat masa ini, permintaan dalam negeri Terengganu sendiri masih belum mencukupi, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan kedai Trendi Fresh di sini Khamis.
Razali berkata TADC pada masa ini mempunyai 2,200 buah sangkar ikan air tawar di Sungai Como, Tasik Kenyir yang setiap satunya mampu menghasilkan 1.0 tan metrik ikan.
Beliau berkata TADC telah membelanjakan kira-kira RM20 juta untuk membina sangkar dan kemudahan asas projek tersebut.
TADC ditubuhkan untuk memasarkan hasil serta melaksanakan projek yang berkaitan perikanan dan pertanian di negeri Terengganu.
Menurut Razali, Trendi Fresh adalah jenama produk TADC dan beralamat di Taman PMINT Jaya Fasa IV, 21080 Cendering.
Bersempena pembukaan kedai Trendi Fresh, katanya satu jualan promosi diadakan pada hari ini dengan menawarkan harga yang lebih rendah daripada harga biasa.
Kini, katanya para pembeli tidak perlu lagi pergi ke Tasik Kenyir untuk membeli ikan segar yang pastinya kos untuk pergi balik lebih tinggi berbanding kos ikan di Trendi Fresh.
Katanya TADC bercadang akan mewujudkan rangkaian kedai Trendi Fresh di negeri ini supaya kedai tersebut berkembang pada masa depan.
No comments:
Post a Comment