Thursday, December 16, 2010

Terengganu Tak Bercadang Bubar T-Team

Kerajaan Terengganu belum bercadang untuk membubarkan satu daripada dua pasukan bola sepak negeri itu walaupun banyak kelab bola sepak di bawah negeri lain telah berbuat demikian kerana masalah kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Rozi Mamat berkata, ini kerana pasukan Terengganu dan T-Team tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber kewangan daripada kerajaan negeri.

"Kita tidak ada masalah kewangan kerana kita tidak bergantung kepada sumber kerajaan semata-mata," katanya pada sesi penggulungan pembentangan Bajet 2011 di Dewan Undangan Negeri semalam.

Rozi berkata T-Team telah didaftarkan dan terikat dengan perjanjian Persatuan Bolasepak Malaysia sehingga 2013, dan jika pasukan itu menarik diri, kerajaan negeri akan kehilangan wang deposit berjumlah RM356,000.

Daripada aspek lain, katanya, dengan adanya dua pasukan bola sepak itu ia secara langsung memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Terengganu yang berbakat dalam bidang bola sepak.

"Lebih membanggakana kedua-dua pasukan itu kini berada dalam Liga Super, menjadikan negeri ini mendapat liputan dan pendedahan yang lebih," katanya.

No comments:

Post a Comment