Peranan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA) terhadap pembangunan anak-anak yatim di negeri ini sejak ia ditubuhkan 30 tahun lalu, wajar dicontohi, titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Seri Paduka bertitah, semua pihak seharusnya bersama-sama menggembleng tenaga dan fikiran ke arah usaha murni ini kerana tanggungjawab menjaga kebajikan anak-anak yatim merupakan tugas semua.
"Beta berpuashati dengan keupayaan kerajaan, yang bersungguh-sungguh dalam usaha memberi khidmat kepada masyarakat terutama golongan yang kurang bernasib baik, khususnya anak-anak yatim di negeri ini.
"Dalam hal ini Beta bersyukur kerana usaha-usaha kebajikan yang dijalankan itu sentiasa mendapat sokongan daripada masyarakat dan pihak-pihak tertentu melalui penglibatan mereka dalam berbagai badan sukarela yang terdapat di Terengganu seperti yang dilakukan PERKAYA," titah baginda.
Seri Paduka bertitah demikian pada majlis sambutan 30 tahun PERKAYA dan Pelancaran Skim Waqaf Tanah Kolej Teknologi Bestari (KTB), Setiu di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu, malam semalam.
Tuanku Mizan turut melahirkan rasa bangga atas usaha yang dilakukan PERKAYA dalam mewujudkan Skim Waqaf Tanah KTB dalam membantu anak-anak yatim dan golongan miskin di Terengganu mendapatkan pelajaran.
"Beta mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan yang dicapai PERKAYA dalam pembangunan kebajikan anak-anak yatim sepanjang 30 tahun PERKAYA diwujudkan.
Pada akhir majlis itu Tuanku Mizan berkenan menyampaikan surat-surat penghargaan kepada 50 orang Alumni PERKAYA termasuk Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang dikurniakan pingat emas sebagai tokoh jasamu dikenang.
No comments:
Post a Comment