Friday, December 31, 2010

UMNO Hulu Terengganu Rai 246 Murid Cemerlang UPSR

Sebahagian guru dan ibu bapa hadir pada majlis meraikan murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah di Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Terengganu, di Kuala Berang, kelmarin.

Bahagian Hulu Terengganu meraikan 246 murid yang mencapai kecemerlangan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bersama ibu bapa mereka di sini semalam.

Ia sebagai penghargaan kepada mereka yang turut menjadikan daerah ini buat pertama kalinya muncul sebagai daerah terbaik dalam peperiksaan itu pada tahun ini.

Majlis kesyukuran Meraikan Kejayaan UPSR Hulu Terengganu itu diadakan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), yang turut dihadiri warga pendidik dan juga pemimpin masyarakat setempat.

Pencapaian Gred Purata bagi sekolah di daerah ini adalah 2.11 mengatasi pencapaian negeri iaitu 2.25 manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Randok antara lima sekolah terbaik negeri apabila 18 muridnya atau 46.15 peratus mendapat 5A.

Empat sekolah mendapat keputusan 100 peratus kelulusan minimum C iaitu SK Dusun, SK Kemat, SK Bukit Tadok dan SK Teris.

Berucap pada majlis tersebut, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, dengan komitmen semua pihak, ia membuktikan sekolah di pedalaman boleh mencapai kecemerlangan tanpa mengira lokasi, prasarana dan status kehidupan murid.

Katanya, kejayaan ini dapat merangsang untuk pencapaian yang lebih baik dan beransur mewujudkan budaya persaingan dalam mengejar kecemerlangan dalam apa jua bidang.

Menurut beliau, ia juga sebagai suatu hadiah kepada warga pendidik yang gigih berusaha memajukan pendidikan anak bangsa.

No comments:

Post a Comment