Friday, December 17, 2010

UMT Menang Hadiah Pertama Penyelidikan Anjuran BSN

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah dinobatkan sebagai pemenang pertama bagi program "BSN Inter Varsity Social Venture Challenge" (SVC) dengan mengemukakan kertas cadangan yang bertajuk "Projek Manfaat Nira".

Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Teknologi Petronas (Pengkomersialan Baja Organik) manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) (Kesukaran Pembelajaran Khusus) di tempat ketiga.

Program yang baru diperkenalkan pada tahun ini merupakan program di bawah tanggungjawab sosial korporat Bank Simpanan Nasional (BSN) bertujuan menggalakkan penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta menghantar kertas cadangan berhubung rancangan perniagaan yang memberi impak kepada pembangunan komuniti.

Program yang disokong penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi ini menawarkan hadiah RM25,000 (dalam bentuk Sijil Simpanan Premium) untuk pemenang pertama, RM15,000 untuk tempat kedua, RM10,000 bagi pemenang ketiga dan RM5,000 untuk pemenang kategori merit.

Pemenang-pemenang utama juga membawa pulang hadiah netbook setiap seorang, baucar buku dan sijil penyertaan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah Khamis berucap pada majlis itu semalam, menggesa universiti tempatan agar menjalankan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap keusahawanan sosial.

Beliau berkata setakat ini hanya tiga buah institusi pengajian tinggi yang telah memulakan kursus akademik dalam bidang keusahawanan sosial iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) dan Kolej Universiti Binary.

"Saya ingin melihat lebih banyak universiti tampil ke depan menjalankan lebih banyak penyelidikan dalam bidang ini. Kita perlu cara baru dalam tindakan afirmatif. Kita kini sedang meninjau cara baru itu.

"Kita perlu pendekatan dan metodologi baru dalam usaha membantu 40 peratus di kalangan mereka yang berpendapatan rendah," katanya di majlis penyampaian hadiah program "BSN Inter Varsity Social Venture Challenge" (SVC)di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata ini adalah masa terbaik bagi institusi pengajian tinggi untuk menjalankan kajian lebih mendalam tentang konsep keusahawanan sosial memandangkan pendekatannya dilihat mampu untuk membantu ramai golongan berpendapatan rendah.

Katanya, R&D yang dijalankan bakal memberi impak yang cukup besar kepada inovasi ekonomi dalam aspek perancangan, strategi dan program pembangunan terutamanya dalam konteks Model Baru Ekonomi (MBE).

No comments:

Post a Comment