Sunday, January 2, 2011

Ahmad Said – Musuh Sebenar UMNO Adalah Pembangkang

Berucap sekembalinya dari bercuti di luar negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan tumpuan setiap pemimpin dan ahli UMNO kini ialah menyerang musuh bersama – pembangkang.

“Musuh kita bukan orang UMNO tetapi yang mahu jatuhkan kerajaan UMNO, Barisan Nasional (BN),” katanya.

Gandingan Ahmad Said, Yahya Khatib menentukan hala tuju UMNO Terengganu.

Ahmad Said menegaskan, semua pihak perlu berganding tenaga bagi menjamin kemenangan UMNO dan BN pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

Beliau berjanji akan turun padang menemui semua jentera parti di peringkat bahagian sebagai langkah awal memperkukuhkan parti itu.

Katanya, beliau akan berbuat demikian dalam waktu terdekat ini dengan menemui semua kepimpinan dan ahli sayap parti berkenaan termasuk pergerakan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri UMNO di semua bahagian.

Orang ramai mengaminkan doa kepulangan Menteri Besar dan isteri.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, usaha itu dibuat sebagai langkah memantap serta memperkuatkan jentera UMNO negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

"Saya sendiri akan turun ke semua bahagian untuk bertemu jentera parti kita (UMNO) di semua peringkat. Kita akan adakan program khusus untuk mereka.

"Cuma kita perlukan sedikit sentuhan dan pemikiran terbuka untuk terus kukuhkan parti kita dan saya akan beritahu dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini sekembalinya beliau dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud dari bercuti di luar negara.

Turut menyambut beliau ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Yahya Khatib Mohd, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.

Kira-kira 500 orang termasuk Ecxo Kerajaan, beberapa ADUN, pemimpin parti, pemimpin NGO dan rakyat menyambut kepulangan beliau.

Beliau turut berucap kira-kira 15 minit dengan mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak kerana melantiknya menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Hishamuddin di atas baktinya sebagai Pengerusi Perhubungan dan sumbangannya kepada UMNO Terengganu sebelum ini, “ katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan bangga negeri Terengganu terus mendahului negeri lain tiga tahun berturut-turut.

Sepanduk ucapan tahniah kerana dilantik Pengerusi Perhubugan UMNO Terengganu dari sebuah cawangan UMNO.

1 comment: