Sunday, January 16, 2011

Dua Kilang Besi Di Terengganu Akan Beroperasi Tahun Ini - Ahmad Said

Gambar fail - Menteri Besar dan rombongan meninjau kawasan yang sudah diteroka di Bukit Besi pada awal Ogos tahun lalu.

Dua kilang besi akan mula beroperasi di kawasan perindustrian Teluk Kalong Kemaman tahun ini, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya, sebuah daripadanya adalah kilang besi waja milik Syarikat Perwaja Steel Sdn Bhd yang akan beroperasi pertengahan tahun ini melibatkan kos antara RM400 dan RM600 juta, yang mampu menyediakan pekerjaan kepada antara 200 dan 300 anak tempatan.


Selain itu, katanya sebuah lagi kilang besi yang lebih besar milik syarikat dari negara China yang menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan melibatkan kos ratusan juta dan mampu menyediakan pekerjaan kepada 600 orang.

"Kita jangka apabila kedua-dua kilang itu beroperasi, ia mampu memberi peluang pekerjaan sehingga 1,000 anak tempatan," katanya selepas menyampaikan bantuan Dana Raya Cina kepada masyarakat Tionghua semalam.

Pada majlis itu, seramai 2,037 kaum Tionghua di daerah Kemaman menerima wang tunai RM300 seorang melibatkan peruntukan RM524,400.

Ahmad berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan kira-kira RM4 juta untuk pembinaan sebuah dewan orang ramai dan gelanggang bola kerajang bagi kemudahan masyarakat Tionghua di daerah itu.

Beliau berkata kilang besi syarikat Perwaja itu merupakan pembesaran kilang yang sedia ada di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment