Saturday, January 8, 2011

Hospital, Jabatan Kesihatan Terengganu Bantu Pesakit SLE

Penderitaan Faridah Mamat, pesakit Sistem Lupus Eritematisus Kronik (SLE) yang terlantar koma, mendapat perhatian banyak pihak.

Makin ramai yang tampil memberi bantuan sejak penderitaan wanita dari Kuala Ibai, dekat sini dan kesukaran keluarga menjaganya akibat kekangan kewangan, dilapor media.

Terbaru, pihak Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Jabatan Kesihatan Terengganu bersetuju memberikan bantuan berbentuk lampin dan susu yang merupakan keperluan utama Faridah, 23 tahun.

Timbalan Menteri kesihatan Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Shirlin (gambar kiri) berkata bantuan yang diberikan itu diharap dapat meringankan beban kewangan ditanggung keluarga Faridah yang menjaganya secara sepenuh masa sejak wanita itu terlantar empat bulan lalu.

"Pihak kami bersetuju memberikan bantuan kepada pesakit ini memandangkan pesakit ini mempunyai masalah kekal dan bergantung kepada bantuan keluarga sepenuhnya," katanya ketika melawat Faridah di kediamannya, di sini Jumaat.

Beliau berkata bantuan itu merupakan usaha bersama yang dilakukan kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Faridah koma ketika mengandung bayi kembar berusia tiga bulan dan kandungannya terpaksa digugurkan berikutan penyakit yang ditanggung.

Sejak terlantar, Faridah yang memerlukan penjagaan sepenuh masa, dijaga suami dan keluarganya secara bergilir-gilir.

Sementara itu suami Faridah, Mohd Hanafi Abd Razak,24, berterima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan.

"Dengan bantuan yang diberikan ini ia sedikit sebanyak dapat meringankan masalah kewangan memandangkan pendapatan saya yang mengambil upah memasang dan menampal poster hanyalah sekitar RM20 sehari," katanya.

Katanya kos rawatan isterinya itu mencecah RM3,000 sebulan bagi membiayai susu, lampin dan tiub pakai buang, selain memerlukan tilam khas.

Berdasarkan laporan kesihatan yang dikeluarkan pihak hospital, penyakit Faridah tidak boleh diubati kerana sistem saraf otaknya rosak teruk akibat jangkitan kuman.

No comments:

Post a Comment