Friday, January 14, 2011

Jelajah One Malaysia Usaha Bakti Kepada Rakyat

Program Jelajah One Malaysia (JOM) Marang bukan gimik politik, sebaliknya ia adalah satu usaha berterusan Pemuda UMNO Negeri untuk menabur bakti kepada rakyat di negeri ini.

Ketuanya, Saiful Bahri Baharuddin berkata, aktiviti kemasyarakatan yang membantu golongan memerlukan dalam JOM juga akan diteruskan ke daerah lain selepas ini.

“Kita serius dalam membantu masyarakat pelbagai lapisan, khususnya yang kurang bernasib baik menerusi program ini, malah kita akan memastikan pihak yang terlepas pandang akan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.

Saiful berkata demikian semasa mengetuai konvoi Pemuda UMNO negeri ke Taman Rahmat, Rhu Rendang di Marang sempena program JOM peringkat daerah Marang di sini. Hadir sama, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.

Pada program JOM yang dilancarkan, antara yang menerima bantuan ialah 47 murid miskin di Taman Rahmat dan Pemuda UMNO negeri juga sempat mengadakan lawatan ke rumah dua pemain Harimau Malaya iaitu Ashaari Shamsuddin dan Mohamad Sharbinee Allawee.

Saiful berkata, selain merapatkan hubungan dengan akar umbi, kaedah program itu juga mampu mengeratkan hubungan barisan Pemuda negeri kerana semua yang dilakukan secara bersungguh-sungguh atas satu tujuan iaitu membantu masyarakat.

“Ini adalah satu program penjenamaan semula aktiviti Pemuda BN negeri bagi memberikan keselesaan kepada rakyat menerusi pelbagai aktiviti seperti kegiatan kemasyarakatan, aktiviti sukan dan penyampaian sumbangan yang dilakukan secara berterusan,” katanya.

No comments:

Post a Comment