Monday, January 3, 2011

Nurul Dahyatul Harap Diterima Rakan

Che Ku zaimah Che Ku Awang melihat kesan parut anaknya, Muhammad Irfan Firdaus Mat Haizan sambil diperhatikan Nurul Dahyatul Fazlinda (kiri) yang mengunakan topeng muka di rumahnya di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, semalam.

Mangsa simbahan asid oleh bapa sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Khalid berharap rakan-rakan dapat menerima keadaan dirinya apabila memulakan sesi persekolahan esok.

Menurut murid berusia lapan tahun itu, dia gembira kerana akan memulakan persekolahan, tetapi pada masa sama agak gementar dengan penerimaan rakan sekelasnya memandangkan dia terpaksa memakai topeng muka ketika di sekolah nanti.

"Saya berharap agar rakan-rakan dapat menerima saya. Saya harap mereka tidak akan mengata saya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nurul Dahyatul Fadzlinda cedera parah di bahagian muka akibat disimbah asid dalam kejadian yang turut melibatkan ibu, adik dan neneknya pada Oktober tahun lepas.

Akibat kejadian tersebut, kanak-kanak malang itu terpaksa memakai topeng muka bagi mengecut dan mengurangkan kesan parut yang serius di wajahnya.

Sementara itu ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, berkata, persiapan sekolah Nurul Dahyatul Fadzlinda yang akan memasuki tahun tiga sudah disediakan.

Katanya, dua pasang baju kurung telah disediakan untuk anak perempuannya itu.

"Saya gembira kerana hajatnya untuk ke bersekolah selepas kejadian itu tercapai. Semoga dia akan diterima oleh rakan-rakannya nanti," ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment