Mahkamah Tinggi semalam yang sepatutnya menjatuhkan hukuman terhadap seorang pemuda berusia 24 tahun yang dituduh membunuh seorang lelaki empat tahun lalu, terpaksa ditangguhkan apabila tertuduh merayu Hakim Datuk Abd Rahim Uda menangguhkan hukuman terhadapnya atas alasan fikirannya berserabut.
Mohd Faizal Juhari dalam rayuannya memohon Abd Rahim memberi peluang terakhir kepadanya untuk menenangkan fikiran dalam tempoh sebulan kerana mendakwa tertekan dan tidak bersedia untuk membela diri semalam.
Abd Rahim pada awalnya menolak rayuan berkenaan kerana menganggap alasan tertuduh tidak bersedia memberi keterangan tidak logik, selain kes berkenaan sudah terlalu lama.
Bagaimanapun, selepas mendengar alasan termasuk aspek kesihatan tertuduh tidak boleh tertekan disebabkan menghidap penyakit sawan yang teruk melalui peguamnya, Abd Rahim akhirnya bersetuju menerima rayuan itu dengan memaklumkan tarikh penangguhan akan ditetapkan kemudian.
Mengikut fakta kes, Mohd Faizal dituduh melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Tan Hai Peng, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Beris, Marang pada 30 November 2007 antara jam 1.30 pagi hingga 1.53 pagi.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chooi Gaik mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment