Saturday, January 8, 2011

Pengusaha Keropok Rugi RM40,000 Selepas Kedai Dihempap Pokok Ru

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Datuk Che Mat Jusoh berkata pihaknya akan mengkaji bentuk bantuan kepada pemilik rumah dan kedai keropok yang dihempap pokok rhu pagi tadi.

"Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu MBKT diharap dapat mengambil tindakan segera untuk mencantas dahan pokok ru berhampiran premis penduduk yang ada antaranya setinggi 15 meter.

"Ketinggian itu berbahaya, lebih-lebih lagi ketika angin kencang di musim tengkujuh," katanya ketika melawat tempat kejadian.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MBKT Razali Mohd pula berkata sejak semalam, banyak aduan berkaitan pokok tumbang diterima.

Pagi ini, seorang pengusaha keropok kerugian kira-kira RM40,000 selepas kedainya di Kuala Ibai di Kuala Terengganu dihempap sebatang pokok ru dalam kejadian pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan itu kira-kira 5.30 pagi tadi.

Pemilik kedai berkenaan, Anna Izawati Hamzah, 41, berkata kejadian disedari pada 6 pagi oleh seorang pekerjanya yang datang untuk membuka kedai.

Beliau bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh pekerjanya dan terkejut melihat kedai yang diusahakan bersama suami, Wan Yusoff Wan Ngah, 47, sejak enam tahun lalu, hampir ranap.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kejadian berlaku semasa tiada sesiapa di kedai termasuk pekerja," katanya hari ini.

Turut rosak akibat pokok tumbang di kawasan sama ialah lima buah rumah dan sebuah lagi kedai keropok.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Che Mat Jusoh berkata Bilik Gerakan Bencana pada musim tengkujuh telah dibuka dan orang ramai boleh menghubungi talian 09-6203179 atau 09-6203180 bagi memaklumkan sebarang kejadian agar tindakan segera dapat diambil.

No comments:

Post a Comment