Tuesday, January 18, 2011

Pesawat Udara APMM Diguna Mencari Nelayan Hilang Di Pantai Kelulut, Marang

Sebuah pesawat udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) akan membantu operasi mencari seorang nelayan yang hilang di Pantai Kelulut, Marang semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu Kapten Adam Aziz berkata pesawat dari ibu pejabat APMM Putrajaya itu akan membuat pemantauan dari udara hari ini.

"Kita mohon bantuan pesawat udara APMM dari ibu pejabat APMM di Putrajaya untuk membantu dalam operasi mencari nelayan berkenaan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang masih hilang ialah tekong dan pemilik bot, Abdullah Salleh, 51, manakala dua yang terselamat ialah adiknya Yusof, 49, dan Md Ali Musa, 61, apabila bot mereka karam di perairan Marang, dekat Rusila awal pagi kelmarin.

Adam berkata gerakan mencari masih diteruskan oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada APMM, Bomba dan Penyelamat, polis dan bot-bot nelayan tempatan.

Adam berkata keadaan laut masih bergelora dengan ombak setinggi 3.5 hingga 4.5 meter, manakala kelajuan angin 60 hingga 70km sejam, berbahaya kepada kapal dan nelayan.

Beliau menasihatkan nelayan yang ingin turun ke laut tidak mengabaikan aspek keselamatan dengan memakai jaket keselamatan.

"Kita harap nelayan juga sentiasa memantau keadaan laut menerusi radio dan televisyen dan mengelak turun ke laut jika keadaan berbahaya bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

No comments:

Post a Comment