Saturday, January 8, 2011

Razif Janji Bantu Masalah Hakisan Pantai Rhu

Seorang pengunjung berdiri di hadapan pondok nelayan yang hampir runtuh akibat hakisan ombak di Pantai Rhu, Kampung Kubang Badak kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung kejadian kawasan Pantai Rhu dihakis ombak.

Pantai Rhu di Kampung Kubang Badak dan Kampung Tok Jembal dekat Kuala Terengganu sebelum ini menjadi tarikan pengunjung untuk bersantai sambil menikmati keindahan semula jadi Laut China Selatan.

Apatah lagi pantai berkenaan turut menjadi tumpuan para nelayan setempat yang lokasinya bukan saja dijadikan laluan keluar masuk ke laut malah bagi menjalankan aktiviti menjual ikan segar yang didaratkan setiap petang.

Bagaimanapun, senario itu beransur berubah dengan kemeriahan serta riuh rendah para pengunjung kian lenyap, sebaliknya sekadar menjadi nostalgia yang semakin suram.

Ini kerana, kawasan pesisiran Pantai Rhu sejauh kira-kira 200 meter dilanda hakisan teruk akibat ombak kuat sejak lebih seminggu lalu menyebabkan banyak pokok rhu dan pokok kelapa tumbang.

"Kita sedang tunggu laporan JPS sebelum langkah sewajarnya diambil tapi kita bersedia membantu menangani masalah hakisan di kawasan itu demi kepentingan orang ramai khususnya nelayan, " katanya.

Razif menjelaskan, kerajaan sedar kawasan ini merupakan tempat tumpuan golongan nelayan setempat yang bergantung hidup kepada hasil laut, jadi kerajaan akan cuba bantu mereka.

Menurut laporan Utusan Malaysia, beberapa bangsal yang sekian lama didirikan bagi kegunaan harian nelayan serta wakaf konkrit untuk dijadikan sudut istirehat turut musnah dan roboh dirobek ombak besar.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, apa yang tinggal hanya sisa beberapa batang pokok rhu yang sejak berlaku hakisan di kawasan itu dua tahun lalu sehingga sekarang, sudah lebih 50 batang pokok rhu tumbang.

Sedangkan kewujudan pokok-pokok rhu itu merupakan tarikan istimewa sehingga kawasan itu popular dengan nama Pantai Rhu, sekali gus menggamit ramai pengunjung untuk bersantai.

Hakisan itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan kira-kira 30 nelayan di kampung berkenaan malah dikhuatiri mengancam keselamatan mereka serta para pengunjung.

Seorang nelayan, Mohd. Nazri Ali, 42, ketika ditemui berkata, ombak besar setiap kali musim tengkujuh menyebabkan berlaku hakisan teruk dengan kejadian terbaru pada seminggu yang lalu.

Menurutnya, kejadian hakisan itu menyukarkannya serta rakan nelayan lain untuk ke laut terutama untuk membawa naik bot nelayan ke daratan yang jaraknya semakin jauh.

"Kali ini kejadian ombak besar kedua berlaku selepas yang pertama pada November lalu dan kejadian terbaru ini yang berlaku kira-kira lebih seminggu lalu menyebabkan pantai terhakis teruk.

"Kejadian ombak besar bermula sejak 2009 lagi iaitu pada musim tengkujuh dan seterusnya berlaku berulang kali sehingga sekarang," katanya yang menjadi nelayan sejak 1986.

Justeru, bapa kepada tiga orang anak itu berharap pihak yang berkenaan berusaha mencari jalan untuk menangani masalah tersebut demi keperluan dan keselesaan nelayan serta pengunjung.

Seorang lagi nelayan, Ibrahim Osman, 72, berkata, kawasan itu yang dilanda hakisan teruk perlu ditambak bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Dia bimbang sekiranya usaha membaik pulih hakisan serta menambak pantai tidak dilakukan, ia akan menyebabkan kawasan pesisiran pantai itu menjadi semakin teruk selain mengancam keselamatan orang ramai.

No comments:

Post a Comment