Ahmad Said (tengah) bersama Mohd Johari dan Ahamad Sabki menyentuh bola kristal gimik perasmian Seminar Pelaburan Akuakultur Negeri Terengganu di Primula Beach Resot. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar khususnya Tilapia yang berkualiti tinggi kini menjadi antara Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang bakal menjadi tumpuan pelabur swasta dari luar negara untuk pasaran seluruh dunia.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata baru-baru ini kerajaan negeri menerima kunjungan pelabur dari China dan Taiwan yang mahu melabur secara besar-besaran untuk pasaran eksport dan mereka sedang membuat penelitian.
"Kalau ada pelabur tempatan kita beri kepada pelabur tempatan, bagaimanapun mereka melabur dalam skala yang besar dan kita mengalu-alukan kerana mereka memerlukan beratus tan sebulan untuk jadikan sebagai ketul ikan,” katanya pada Majlis Pelancaran Seminar Pelaburan Akuakultur Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Asha’ari Idris dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood.
Menteri Besar berkata, ikan air tawar di Tasik Kenyir berkualiti tinggi kerana kualiti air yang bersih dan kawasan yang luas, berbanding sangkar ikan air tawar yang berskala kecil biasanya lebih berselut.
Katanya, pengeluaran ikan air tawar di negeri ini mencapai 40 hingga 60 tan sebulan dan dijangka sebanyak 100 tan dapat dikeluarkan selepas Jun ini.
Beliau sebelum itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian yang meluluskan pembinaan dua Pusat Pembenihan Ikan, iaitu Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar di Kampung Sungai Chamar, Hulu Terengganu dan Pusat Pembenihan dan Asuhan Ikan Laut Berteknologi Tinggi di Kampung Limau Nipis, Setiu yang menelan belanja RM12.6 juta.
Kedua-dua pusat ini dijangka siap pada pertengahan tahun ini dan dapat membekalkan benih projek HIP sangkar air tawar di ZIA Sungai Como dan sangkar ikan air masin di negeri ini.
Sementara itu, Dato’ Ahamad Sabki berkata, selain China dan Taiwan, pelabur dari Amerika Syarikat (US) juga berminat untuk memasuki pasaran ikan air tawar di Tasik Kenyir berikutan spesis ikan di tasik itu yang memenuhi piawaian dan kehendak mereka.
Pelabur negara itu mengunjungi Tasik Kenyir ketika persidangan antarabangsa mengenai akuakultur di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Jadi sekarang mereka minta pengusaha di Tasik Kenyir untuk keluarkan seberapa banyak ikan berkenaan untuk mereka. Sekarang masa untuk kita mengeluarkan produk yang memenuhi ciri-ciri dan piawaian pasaran US bagi membolehkan produk kita di eksport,” katanya.
Sementara itu Johari berkata, nNegara mampu mencapai sasaran pengeluaran akuakultur sebanyak 727,300 tan metrik membabitkan nilai RM7 bilion menjelang 2015.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu menjelaskan, tahap pengeluaran itu membolehkan negara memperoleh lebihan tahap sara hidup keperluan protein selain meningkatkan eksport di pasaran global.
Sejajar dengan itu, jelasnya, negara berupaya mewujudkan kira-kira 40,000 peluang pekerjaan kepada rakyat.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan komitmen tinggi kerajaan terutama kementeriannya melaksanakan program pembangunan bersepadu sebagai program utama di bawah Nilai Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA).
Menurutnya, program tersebut membabitkan pembangunan bersepadu industri ternakan udang, ternakan ikan dalam sangkar dan mini estet rumput laut di negara ini.
"Kementerian amat menghargai kerjasama kerajaan Terengganu yang menyediakan kawasan seluas 400 hektar di Setiu untuk pembangunan zon industri udang.
"Di samping itu, kerajaan Terengganu juga menyediakan 2,600 hektar di Tasik Kenyir untuk kita bangunkan projek ternakan ikan air tawar dalam sangkar secara besar-besaran," katanya.
Sumber UKOM/Utusan
No comments:
Post a Comment