Thursday, February 3, 2011

3,000 pengunjung sertai perarakan Tahun Baru Cina

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan orang ramai yang hadir semasa perarakan sempena perayaan Tahun Baru Cina di Kampung Cina, Kuala Terengganu, malam kelmarin - Gambar Zul Putra.

Kira-kira 3,000 pengunjung memeriahkan Majlis Persembahan sempena sambutan Tahun Baru Cina di Kampung Cina, Jalan Bandar, di Kuala Terenganu, malam kelmarin.

Ia dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Norliza Mahmud di samping Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Toh Chin Yau dan mereka turut serta dalam perarakan pembukaan majlis.

Pelbagai hiasan menyerikan sepanjang laluan satu kilometer kawasan perniagaan lama itu dan premis-premis juga turut diperindahkan melalui pertandingan yang diadakan.

Menteri Besar turut meluangkan masa melawat setiap rumah yang menyertai pertandingan termasuk keluarga Melayu dan India dan memberi angpau kepada setiap peserta dan kanak-kanak.

Pelbagai persembahan yang diadakan seperti pertunjukan Pertukaran Topeng Muka, persembahan Akrobatik dan Pertandingan Menghias Rumah yang turut disertai oleh kaum Melayu (empat buah) dan India (dua buah) di sepanjang jalan di Chinatown.

Acara pemberian angpau, minum teh, pemberian buah limau, acara bergambar bersama haiwan Tahun Baru Cina, Arnab serta nyanyian lagu-lagu klasik juga dapat dilihat di sepanjang jalan berkenaan.

Selain itu, jualan seni kraf tangan dan persembahan muzik tradisional Cina di samping tarian singa memeriahkan lagi sambutan.

Menurut Chin Yau, program seumpama itu sentiasa dinantikan oleh masyarakat setempat yang turut memancarkan perpaduan di antara semua kaum di mana budaya dan tradisi Cina dapat diketahui dengan lebih dekat.

Ketua Belia Wanita MCA, Monna Ong merakamkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang membantu menjayakan program itu dan juga menjadikan kampung Cina sebagai pusat pelancongan warisan.

"Saya amat gembira dengan kehadiran Menteri Besar bagi memeriahkan lagi Majlis Persembahan dan ramai kaum Melayu yang turut terlibat bagi menjayakan program ini" katanya.

Program yang amat meriah ini yang di sertai oleh pelbagai kaum menunjukkan sikap rakyat Terengganu yang mengamalkan konsep Satu Malaysia bagi mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian negeri.

No comments:

Post a Comment