Pasukan Malaysia -- Terengganu Pro Asia Cycling Team, pasukan kebangsaan dan Le Tua Cycling Team -- menamatkan saingan mereka masing-masing di kedudukan tempat kelima, lapan dan 10, daripada 10 pasukan Asia yang bertanding pada kejohanan berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-16 tahun ini.
Pelumba dari pasukan Androni Giocattoli, Jonnatha Monsalve menjadi atlet berbasikal pertama dari Venezuela memenangi gelaran juara keseluruhan kejohanan berkenaan.
Pelumba dari pasukan Itali itu muncul juara keseluruhan individu apabila mencatatkan masa kayuhan 10 hari berjumlah 30 jam 8 minit dan 57 saat.
"Saya amat gembira untuk memenangi kejohanan peringkat awal pembabitan saya sebagai pelumba profesional, ia perkembangan yang baik untuk memulakan karier. Saya gembira dapat memenangi peringkat di Genting Highlands, kerana saya tahu ia memang sukar dan saya tahu rakan senegara saya pernah memenanginya tahun lepas, itu sebabnya saya juga teruja untuk memenanginya," kata pelumba berumur 22 tahun itu.
"Ini juga adalah kemenangan buat pasukan, pasukan saya bekerja keras untuk rangkul juara keseluruhan saya ini. Saya gembira dapat beraksi cemerlang di Kuala Lumpur," tambahnya.
Selain memenangi jersi kuning, Monslave turut berjaya peroleh jersi merah atau gelaran "Raja Bukit" selepas mengumpulkan 45 mata.
"Saya amat menghormati Libardo (Nino Carridor) kerana di menyertai banyak perlumbaan sehingga mencapai usia 42 tahun. Saya gembira dapat menewaskannya. Saya benar-benar mahukan kemenangan kerana saya sudah bersedia untuk perlumbaan ini sejak Disember dan apabila saya ada dua saat defisit kepada Libardo, saya terpaksa buka langkah dengan kayuhan lebih pantas, dan akhirnya saya berjaya," tambahnya.
Sementara itu pelumba pasukan Farnese Vini-Neri Sottoli, Andrea Guardini, muncul juara saingan peringkat akhir hari ini, menjadikan beliau sudah lima kali beroleh kemenangan dalam saingan peringkat LTdL kali ini.
Dalam peringkat akhir hari ini dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ke Kuala Lumpur yang berakhir di Dataran Merdeka, Guardini mencatatkan masa kayuhan 2 jam 24 minit dan 30 saat.
Pelumba berumur 21 tahun dari Itali itu juga memenangi jersi biru (raja pecut) saingan leaderboard dengan 117 mata, 16 mata di hadapan pelumba Malaysia Anuar Manan dari Terengganu Pro Cycling Team.
Pelumba dari Russia Boris Shpilevsky dari pasukan Tabriz Petrochemical Team pula menduduki tempat ketiga dengan 97 mata.
"Saya gembira dapat memenangi lima peringkat dalam perlumbaan profesional saya, dan juga mata keseluruhan. Anuar (Manan) nampak bersungguh benar untuk memenangi mata terbaik keseluruhan, malang baginya dia kalah segalanya dalam peringkat ke-7 apabila dia tidak dapat pecut. Dia kehilangan kira-kira 15 mata," katanya.
Pasukan Tabriz Petrochemical Team mencuri tumpuan dalam kejohanan Le Tour de Langkawi 2011 apabila ia berjaya mengekalkan gelaran juara keseluruhan selepas 10 hari perlumbaan dengan jumlah catatan masa 90 jam 30 minit dan 59 saat, manakala pasukan Azad University Cycling Team dan Chipotle Development Team masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Dalam kategori pelumba Asia, kemenangan pelumba Iran Rahim Emami sebagai pelumba Asia terbaik tahun ini membantu pasukannya Azad University Cycling Team memenangi saingan keseluruhan pasukan Asia.
No comments:
Post a Comment