Sunday, February 20, 2011

Anuar Manan Berdepan Kemungkinan Dilarang Menyarung Jersi Kebangsaan

Jaguh berbasikal negara, Anuar Manan mungkin menerima padah ekoran tindakannya menarik diri daripada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), walaupun atas alasan kesihatan apabila dia dikatakan tidak lagi akan disenarai untuk menyarung jersi kebangsaan.

Utusan Malaysia melaporkan hari ini, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu menarik diri daripada menyertai acara lebuh raya ACC 2011, yang berlangsung di Universiti Teknologi Suranaree semalam, atas alasan demam.

Namun, menurut sumber Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) wujud petanda Anuar sebenarnya sedang menggandakan usaha untuk mendominasi Jelajah Malaysia (JM) 2011 bulan depan kerana mahu meneruskan rekod baiknya pada kejohanan tertua di Malaysia itu, apatah lagi JM tahun ini tidak berbukit.

PKBM dikatakan terkilan dengan cara Anuar menarik diri sekalipun menyerahkan sijil sakit yang dikeluarkan Institut Sukan Negara (ISN) demi membuktikan dia sememangnya tidak sihat.

"Penarikan diri pemenang jersi hijau (raja bukit) LTdL (Le Tour de Langkawi) 2010 dan naib juara jersi biru LTdL 2011 itu menjadi bualan hangat di kalangan pegawai luar negara di Korat, ini kerana ramai sudah maklum Anuar akan datang ke ACC, dan teruja dengan kehadirannya. Dia antara raja pecut Asia ketika ini.

"Mereka tahu Anuar berentap dengan Andrea Guardini (dari pasukan Farnese Vini Neri Sottoli) yang menang perlumbaan peringkat terakhir di Tour of Qatar. Pegawai dari Filipina misalnya terperanjat dengar cerita Anuar menarik diri kerana demam. Dia menegaskan masih ada masa lapan hari untuk Anuar pulih dari demam dan menyertai acara lebuh raya di sini," kata sumber tersebut.

Menurut sumber itu lagi, PKBM kecewa kerana ketiadaan Anuar menafikan peluang Malaysia untuk memulihkan imej lebuh raya, sedangkan dia mempunyai peluang yang cerah untuk mencipta kejayaan berdasarkan laluan perlumbaan yang landai di Korat.

Sehubungan itu, kata sumber tersebut, dipercayai wujud usaha untuk tidak lagi menyenaraikan Anuar pada mana-mana kejohanan besar selepas ini khususnya Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel atau ACC.

"Sebenarnya pada peringkat awal nama Anuar tidak disenarai ke Korat kerana prestasi buruk pada enam kejohanan utama sejak 2008, namun jurulatih (Graham Seers) berkeras mahu Anuar berada di dalam skuad kerana percaya perlumbaan di Korat bakal berakhir dalam kelompok besar," katanya.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai itu memperaga kayuhan mantap pada LTdL 2010 dan LTdL 2011 tetapi hambar dalam penampilan di ACC 2008, ACC 2009, ACC 201, Sukan SEA 2009, Sukan Komanwel 2010 dan Sukan Asia 2011 di Guangzhou.

Sementara itu, Presiden PKBM Abu Samah Abd Wahab menegaskan soal sama ada Anuar akan disenarai pada masa depan, bergantung kepada panel pemilihan PKBM dan Seers. "Namun saya akui ada yang kecewa dengan sikap Anuar menarik diri dari ACC, sedangkan rakan sepasukannya dalam TSG (merujuk kepada Mohd. Harrif Salleh) bersungguh-sungguh mahu menyarung jersi negara," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, tiada pingat mampu dijelmakan pelumba Malaysia dalam acara lebuh raya lelaki elit dan wanita remaja pada hari penutup ACC semalam, sekali gus meneruskan kemarau pingat acara tersebut sejak 1991.

Dalam saingan lelaki 158 kilometer (sekitar kampus Universiti Teknologi Suranaree), Amir Mustafa Rosli muncul pelumba terbaik negara dengan menduduki tempat ke-20 daripada 53 pelumba menerusi catatan masa 3 jam 42 minit 36 saat. Ng Yong Li dan Muhammad Rauf Nur Misbah masing-masing di tempat ke-22 dan ke-26, diikuti Suhardi Hassan, yang ke-41.

Kali terakhir pelumba negara memenangi pingat dalam acara lebuh raya pada ACC ialah menerusi Nuraffendy Rusli pada 1991 di Ipoh.

Sebelum itu, acara lebuh raya wanita remaja juga berakhir dengan mengecewakan apabila tiada dicatatkan oleh empat pelumba negara. Nurul Nadia Mohd. Fauzi berada di tempat keenam daripada 20 pelumba dengan masa 2:31.36s, diikuti Nurazimah Abd. Rashid (11) dan Lauretta Eva Adrian (12).

Malang buat jaguh trek wanita remaja negara, Jupha Somnet apabila menduduki tempat terakhir perlumbaan tersebut. Emas acara tersebut dimenangi pelumba Hong Kong, Leung Bo Yee (2:31.21s), diikuti Nguyen Thi That dari Vietnam (2:31.36s).

No comments:

Post a Comment