Friday, February 25, 2011

Bank Rakyat Buka Cawangan di Kerteh

Pengarah Urusan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata bank itu akan membuka lapan lagi cawangan tahun ini, menambah kepada 127 yang ada, dengan jumlah pelaburan mencecah RM8 juta.

"Akan terdapat tiga cawangan masing-masing di Sabah (Samporna, Putatan dan Kota Marudu) dan Sarawak (Limbang, Kapit dan Serian) dan setiap satu di Bentong, Pahang dan Kerteh, Terengganu.

"Kami akan mempunyai empat cawangan menjelang pertengahan tahun. Kira-kira RM1 juta akan dilaburkan untuk setiap cawangan," katanya di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata pertumbuhan perolehan Bank Rakyat bagi tahun kewangan sekarang diramalkan pada 10 peratus.

"Peningkatan itu akan menjadi lebih perlahan kerana kami tidak mengembang terlalu banyak dalam perbankan runcit terutamanya dalam pembiayaan peribadi berbanding tahun lepas.

"Sasaran 10 peratus adalah mencukupi untuk pertumbuhan dan keuntungan yang stabil," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata untuk tahun ini, Bank Rakyat menyasarkan peningkatan yang lebih tinggi dalam pendapatan berasaskan yuran dan menumpukan kepada perniagaan perbankan teras dan pengurusan harta ke arah sasaran pertumbuhan itu.

Pendapatan berasaskan yuran bank itu naik 13 peratus tahun lepas kepada RM92.3 juta, di mana 89.6 peratus daripadanya disumbangkan oleh pendapatan daripata penulisan wasiat, komisyen dari Takaful dan yuran perkhidmatan ATM.

Pendapatan daripada pembiayaan meningkat kepada RM4.04 bilion daripada RM3.40 bilion sebelum ini, di mana 92 peratus adalah daripada perbankan pelanggan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata bank itu mencatatkan peningkatan 10.8 peratus dalam keuntungan sebelum cukai RM1.72 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2010 daripada RM1.55 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau mengumumkan keputusan kewangan bank itu pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata keuntungan itu dicapai hasil peningkatan berterusan pendapatan, pengurusan kos yang efisien dan kualiti aset yang tinggi sementara mengekalkan amalan perbankan berhemat.

Pendapatan kasar Bank Rakyat naik 24.3 peratus kepada RM4.70 bilion daripada RM3.78 bilion sementara pendapatan bersih selepas pengagihan keuntungan kepada pendeposit meningkat 16.7 peratus kepada RM3.05 bilion daripada RM2.61 bilion sebelum ini.

Ia mengisytiharkan dividen 15 peratus bernilai RM294.9 juta.

No comments:

Post a Comment