Tuesday, February 1, 2011
Bumbung Stadium Runtuh - Jurutera Perunding Kena Dakwa
Seorang jurutera perunding didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu semalam berhubung kes sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak yang runtuh pada 2 Jun 2009.
Wan Manan Wan Ali, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dengan curang menipu dan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan satu dokumen bertarikh 15 Januari 2009.
Wan Manan didakwa memberi pandangan dan menandatangani dokumen itu kepada Pengarah JKR negeri (ketika itu), Rosli Zainal dan turut bertindak memperdaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong untuk mempercayai dia adalah pemeriksa yang diiktiraf. Pandangan diberi dalam dokumen bertarikh 15 Januari 2009 itu adalah pandangan pengiktirafan sebagai pemeriksa, sedangkan tertuduh mengetahui dia tidak diiktiraf sebagai pemeriksa.
Dokumen itu berkaitan sistem sokongan bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan membina dan menyiapkan stadium utama atau dikenali Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 15 Januari dan 29 Mac 2009 di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu di Wisma Negeri, Kuala Terengganu.
Wan Manan dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. Hakim M Bakri Abdul Majid menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Wan Manan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh diwakili Wan Zainuddin Wan Musa, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengikut laporan akhbar sebelum ini, SSMZA yang dibangunkan dengan kos RM292 juta dan dirasmikan pada 10 Mei 2008 dimajukan sekumpulan kontraktor anak Terengganu daripada Bina Struktur Sdn Bhd, Emarcon Sdn Bhd dan Gengam Mercu Sdn Bhd, manakala arkitek Senibahri Arkitek dan MAA Associates.
Bagaimanapun, hanya selepas setahun digunakan dan menjadi lokasi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-12 pada Mei 2008, sebahagian bumbung stadium itu yang dibina berdasarkan konsep rekaan tanpa sokongan tiang, runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kerugian dianggarkan lebih RM25 juta.
No comments:
Post a Comment