Sunday, February 27, 2011

Denggi : Ambil Serius Kaedah Pengurusan Sampah, Kebersihan

Terengganu adalah antara negeri paling tinggi peningkatan kes denggi dengan 12 kes sepanjang tempoh seminggu mulai 13 Februari lalu.

Negeri ini bersama-sama Johor mendahului enam negeri mencatat peningkatan kes demam denggi sepanjang tempoh itu menjadikan 420 kes direkodkan di seluruh negara, bertambah 29 kes berbanding 391 kes pada minggu sebelumnya.

Mengikut statistik terbaru yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, Terengganu dan Johor meningkat 12 kes; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (11 kes); Sabah (sembilan kes); Sarawak (lapan kes); Melaka (tujuh kes) dan Kelantan (satu kes) sepanjang tempoh itu.

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar mengajak Yang DiPertua Majlis Tempatan dan pegawai daerah seluruh Terengganu mengambil serius kaedah pengurusan sampah dan kebersihan di kawasan masing-masing.

Ia bagi mengelak peningkatan kes demam denggi di negeri ini.

Dr A Rahman Mokhtar, berkata peranan dua pemimpin di setiap daerah itu amat penting untuk memastikan wabak denggi tidak terus menular dan mencatat angka yang membimbangkan.

Katanya, dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri pada minggu lalu,Jabatan Kesihatan Negeri turut meminta dipertua majlis tempatan serta pegawai daerah menekankan aspek penjagaan alam sekitar dan kebersihan di daerah masing-masing.

Bagaimanapun, menurut Dr A Rahman, rekod negeri menunjukkan sejak beberapa minggu lalu, catatan kes demam denggi lebih rendah daripada tahun lalu dan berada di bawah median tiga tahun.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita sebagai mengulas laporan akhbar arus perdana hari ini (25 Februari), berhubung Terengganu antara tujuh negeri yang mencatat peningkatan kes demam denggi dalam tempoh seminggu mulai 13 Februari lalu, menjadikan 420 kes berbanding 391 kes pada minggu sebelumnya.

Dr A Rahman juga berharap semua masyarakat mengambil langkah proaktif bagi menangani isu ini lebih awal serta tidak hanya mengharapkan tindakan jabatan kesihatan dan pihak berkuasa tempatan semata-mata untuk membersihkan kawasan mereka apabila dikesan terdapat kes demam denggi.

“Kesedaran dan mentaliti individu lebih penting dalam isu menjaga alam sekitar dan kawasan sekeliling terutama sekitar rumah sendiri. Jangan biarkan sampah merata-rata, longkang dan parit tidak diselenggara dengan betul sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan punca kepada pelbagai wabak lain,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Datuk Dr Mohd Ismail Merican, berkata sebanyak 3,282 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara sehingga Sabtu lalu, menurun sebanyak 55 peratus atau 3,946 kes berbanding dengan 7,228 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Kes kematian akibat demam denggi juga menurun sebanyak 76 peratus atau 19 kematian di mana ada enam kematian bagi 2011 berbanding 25 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Dr Mohd Ismail berkata, sepanjang minggu lalu, 96 lokaliti wabak di 24 daerah direkodkan di seluruh negara termasuk lima lokaliti ‘panas’ di Gombak, Selangor.

Mengenai penyakit Chikungunya, beliau berkata, ada tiga kes dilaporkan di Melaka, Sarawak dan Sabah dalam tempoh seminggu mulai 13 Februari lalu.

“Ini menunjukkan kes terkumpul Chikungunya ialah enam kes, menurun sebanyak 99 peratus berbanding 388 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment