Friday, February 25, 2011

Halliburton Mahu Bantu Malaysia Jadi Hab Perkhidmatan Lapangan Minyak

Halliburton Energy Services (M) Sdn Bhd, unit tempatan penyedia produk dan perkhidmatan kepada industri minyak dan gas kedua terbesar dunia, mahu membantu Malaysia menjadi hab utama Asia dalam perkhidmatan lapangan minyak, kata Naib Presiden Kawasannya, Rao Abdullah.

Halliburton memainkan peranan penting dalam ekonomi negara sejak ia diperbadankan 33 tahun lepas di Malaysia.

Daripada lebih RM500 juta ia laburkan dalam kilang pembuatannya di Senai (Johor), Halliburton mengembangkan kemudahan dan perkhidmatannya dalam tempoh beberapa tahun lepas ke Kuala Lumpur, Miri (Sarawak), Kemaman (Terengganu) dan Labuan.

Pertumbuhan industri minyak dan gas merupakan satu daripada objektif utama dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara.

Sehubungan itu, Halliburton berharap dapat membantu Malaysia menarik lebih banyak syarikat bertaraf dunia untuk menjadi rakan kongsi dan memantapkan pembina tempatan bagi mendapatkan kontrak utama dan mengukuhkan kedudukan dalam bahagian pemasangan lapangan minyak, termasuk pembinaan telaga minyak.

Dalam proses itu, ia berharap dapat menjadi satu daripada kuasa pemacu membantu mengembangkan ekonomi Malaysia, bermula dengan 7.0 peratus tahun ini, katanya.

Beliau berkata matlamat jangka panjang Halliburton juga untuk membantu Malaysia menjadi hab bagi modal insan dalam industri minyak dan gas, terutamanya dengan latar belakang syarikat yang dipilih sebagai satu daripada tujuh peneraju dunia dalam Pembangunan Modal Insan, Standard bagi Pembekal, Tadbir Urus Korporat, dan Pengurusan Hubungan Pelanggan.

Syarikat itu, katanya, juga komited untuk meningkatkan peratusan kepakaran tempatan di Malaysia dan di tempat-tempat lain di dunia di mana ia beroperasi.

"Kami mencari ramai jurutera, juruteknik dan profesional muda untuk menyertai organisasi kami," katanya, sambil menambah beliau percaya terdapat ramai orang di Sabah dan Sarawak yang berminat dengan kerjaya dalam industri minyak dan gas.

Ketika ini Halliburton mempunyai hampir 1,000 pekerja di seluruh negara, dengan lebih 200 sahaja di Labuan, di mana lebih 95 peratus adalah rakyat Malaysia.

Di Labuan, Halliburton baru-baru ini berpindah ke kemudahan baharu yang menelan kos RM50 juta terletak di Asian Supply Base.

Rao berkata syarikat itu berbangga dengan peranan perintisnya dalam membangunkan kerjasama perniagaan yang berjaya dengan syarikat tempatan.

Satu contoh ialah Inno Marine Services Sdn Bhd (IMS), di mana Halliburton bekerjasama rapat bagi menyokong syarikat minyak antarabangsa beroperasi di Malaysia, Brunei dan Thailand.

Sektor minyak, gas dan tenaga telah menjadi teras kepada pertumbuhan Malaysia dan menyumbang kira-kira 20 peratus kepada KDNK negara.

Sebagai sebahagian daripada kepentingan jangka panjangnya di Malaysia, beliau berkata syarikat itu juga komited untuk membangunkan dan menggunakan sumber-sumber Malaysia, memindahkan teknologi, membentuk usaha sama dan bekerjasama dengan Petronas menerusi Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Pada September tahun lepas, Halliburton menyumbang perisian kejuruteraan petroleum dan geosains bernilai US$17.9 juta kepada UTP untuk meningkatkan pengalaman praktikal para pelajarnya dalam bahagian eksplorasi dan penghasilan hidrokarbon dalam persekitaran cari gali dan penggerudian yang sangat mencabar.

No comments:

Post a Comment