Monday, February 7, 2011

Ibrahim Muhamad 'kembali ke sekolah' Pulau Kerengga

Ibrahim Muhamad (dua dari kanan) membantu pelajar menggunakan komputer ketika hadir pada program 'Ke Sekolahku' di Marang, semalam.

Semasa kecilnya, beliau pernah berkaki ayam, berjalan ke Sekolah Kebangsaan Pulau Kerengga yang menjadi 'pulau ilmu' bagi dirinya dan penduduk setempat.

Setelah puluhan tahun meninggalkan sekolah itu hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad kembali semula ke sekolah yang puluhan tahun ditinggalkan.

Beliau bersama program 'Ke Sekolahku' anjuran Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dalam usaha memotivasikan golongan pelajar terutamanya yang berada di luar bandar.

Ibrahim yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran Mara (YPM) terharu apabila berpeluang untuk kembali semula ke sekolah yang telah mencorak dirinya kini dan mengenang masa lalu.

Beliau berkata, pendekatan yang digunakan melalui program itu merupakan kaedah yang paling baik dilaksanakan bagi mendorong pelajar mengejar kecemerlangan untuk merubah kehidupan.

"Pada saya program ini lebih mudah melekat di hati golongan pelajar kerana dapat melihat sendiri contoh mereka yang berjaya yang terdiri di kalangan orang kampung mereka.

"Justeru, saya harap lebih banyak usaha-usaha seperti ini diadakan dengan mengenal pasti tokoh-tokoh berwibawa yang dilahirkan dari negeri ini sebagai contoh kepada anak-anak muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir pada program 'Ke Sekolahku' di Sekolah Kebangsaan Pulau Kerengga di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengerusi YPM, Datuk Dr. Rosli Mat Hassan dan Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud.

Pada majlis tersebut, beliau turut memberi sumbangan 10 buah komputer riba untuk murid-murid cemerlang serta wang tunai RM5,000 kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa YPM akan meneruskan usaha menganjurkan pelbagai program melibatkan sekolah-sekolah di seluruh negara untuk mempertingkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar bumiputera di setiap peringkat.

Katanya, pada tahun lalu sebanyak 350 program dilaksanakan termasuk program Anjung Ilmu, Juara Pendidikan, Sekretariat Bumiputera dan Skim Anak Angkat.

Tambahnya, program terbaru di bawah Anjung Ilmu itu bakal dilaksanakan di 64 rumah anak yatim di seluruh negara termasuk rumah anak yatim persendirian.

"YPM bermatlamat memberi kemudahan pembelajaran kepada anak-anak yatim selain memupuk sikap membaca dan cintakan ilmu pengetahuan di kalangan mereka.
"Ini perlu agar mereka tidak berasa dipinggirkan dan usaha ini perlu dicontohi oleh agensi lain," jelasnya.

No comments:

Post a Comment