Wednesday, February 2, 2011

Kementerian Belia dan Sukan Beri Kerjasama Anjur LTdL Tahun Depan - Ahmad Shabery

Ahmad Shabery dikerumuni wartawan pada hari akhir kejohanan berbasikal LTdL.

Kementerian Belia dan Sukan sedia memberi kerjasama penuh dalam penganjuran kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) bagi edisi 2012 selepas melihat sambutan menggalakkan daripada peminat dan pasukan yang menyertai perlumbaan itu tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mencadangkan penganjuran seterusnya diadakan dengan lebih kreatif dengan mempelbagaikan laluan untuk menjadikan perlumbaan lebih mencabar.

"Untuk penganjuran tahun depan, kita akan bersama penganjur membantu memikirkan perlumbaan yang lebih kreatif bagi menyemarakkan sokongan peminat sukan berbasikal terutama daripada golongan belia.

"Tahun ini, kita bermula di Langkawi dan berakhir di Kuala Lumpur, barangkali penganjuran tahun depan tidak semestinya sama dengan yang sedia ada kini," katanya kepada pemberita setelah tamat majlis penyampaian hadiah kepada pemenang kejohanan yang tamat di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad Shabery turut teruja dengan keupayaan pelumba Malaysia memberi saingan hebat kepada pelumba antarabangsa lain.

"Walaupun pelumba negara tidak banyak memperoleh kemenangan, namun saya tetap yakin mereka pasti mampu berada dalam kelompok terbaik pada perlumbaan selepas ini jika terus diberikan pendedahan berterusan.

"Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pihak media yang banyak membantu dalam membuat liputan sepanjang penganjuran ini," katanya.

Pelumba sensasi negara Anuar Manan yang mewakili pasukan profesional Terengganu Cycling Team menduduki tempat ketiga dalam saingan peringkat akhir pada Ahad dari Universiti Teknologi Mara di Shah Alam hingga ke Dataran Merdeka.

No comments:

Post a Comment