Friday, February 11, 2011

Kerajaan Terengganu Kaji Tanggung Kos Kepulangan Pelajar

Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk menanggung kos kepulangan pelajar Terengganu di Mesir yang selamat kembali ke tanah air atas perbelanjaan sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman bagaimanapun berkata, bantuan itu mungkin hanya melibatkan pelajar kurang mampu atau miskin.

Katanya, setakat ini, beliau hanya menerima satu permohonan daripada pelajar terlibat untuk mendapatkan bantuan tanggungan kos kepulangannya ke negeri ini dari Mesir.

"Kita akan cuba pertimbangkan (bantu tanggung kos kepulangan pelajar), mungkin hanya pelajar yang kurang mampu dan miskin yang boleh kita bantu, bukan semua.

"Ini kerana, ramai yang balik sendiri adalah mereka yang belajar di sana atas belanja sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penyerahan E-Book Untuk Murid Tahun 5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di Kuala Terengganu, semalam.

Seramai 567 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, SK Bukit Tok Beng, SK Tok Jembal, SK Teluk Ketapang dan SK Seberang Takir menerima E-Book masing-masing daripada Ahmad Razif.

Beliau diminta mengulas sama ada kerajaan negeri bersedia membantu meringankan beban pelajar Terengganu di Mesir dengan menanggung kos kepulangan mereka ke tanah air sebelum ini atas perbelanjaan sendiri.

Ahmad Razif bagaimanapun memberitahu, perkara itu memerlukan penelitian terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada kerajaan negeri bersetuju menanggung kos kepulangan pelajar berkenaan.

"Buat masa ini kita tak ada cadangan mengenainya (tanggung kos penerbangan pelajar) tapi kita sedia mempertimbangkan mengenainya," tambahnya.

No comments:

Post a Comment