Sebanyak lapan kes kemalangan maut dicatat di Terengganu sepanjang berlangsungnya Ops Sikap ke-23, operasi yang diadakan sepanjang perayaan Tahun Baru Cina, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt Alias Hashim berkata lapan yang maut terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal (tiga kematian) pemandu dan penumpang kereta (dua kematian), pejalan kaki (dua kematian) dan penunggang basikal (satu kematian).
"Kebanyakan kes kemalangan maut berlaku ketika pemandu menukar lorong pemanduan atau cuba memotong kenderaan lain, selain cuai semasa melintas jalan dan ada juga kes-kes terbabas sendiri," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Sepanjang Ops Sikap itu yang bermula 27 Jan hingga 10 Feb lalu, sebanyak 469 kes kemalangan dicatatkan berbanding 457 kes kemalangan sepanjang Ops Sikap ke-22 tahun lalu, iaitu peningkatan 2.6 peratus, katanya.
Alias berkata 5,217 saman untuk pelbagai kesalahan dikeluarkan pihaknya sepanjang tempoh operasi itu berlangsung.
No comments:
Post a Comment