Monday, February 21, 2011

Pelaburan RM1 Bilion - Taman Ilmu Mula Beroperasi Mei ini

Taman Ilmu yang menjadi antara ikon pendidikan negeri dijangka dapat disiapkan lebih cepat apabila mendapat suntikan pelaburan daripada sebuah institusi pelaburan terkenal negara yang dikatakan akan melabur RM1 bilion di taman berkenaan.

Sumber berkata, pelaburan akan dibuat melalui sebuah syarikat berkaitan kerajaan pusat yang pemilikannya sebanyak 40 peratus dalam institusi pelaburan berkenaan.

Kerajaan negeri dijangka akan mendapat keuntungan berganda melalui pelaburan ini apabila institusi berkenaan akan membayar balik pelaburan sebanyak RM400 juta yang sudah dibelanjakan sejauh ini selain keuntungan dariapada pembiayaan RM1 bilion bagi menyiapkan taman berkenaan.

Difahamkan kerajaan negeri bersetuju dengan cara pelaburan ini apabila mengambil kira kecepatan dan peluang menarik institusi pengajian tinggi daripada beberapa negara luar yang akan dibawa bersama dengan pelaburan berkenaan.

Sementara itu semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri yang mensasarkan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu semakin kenyataan apabila Taman Ilmu di Besut di jangka siap sepenuhnya pada Mei tahun ini.

Menurut laporan teganukita, Taman Ilmu yang mampu menampung 50,000 pelajar mendapat sambutan yang mengalakkan daripada pelbagai universiti termasuk luar negara untuk membuka cawangan baru.

Pelbagai infrastruktur telah dibina berkonsepkan ‘sharing facilities’ (kongsi kemudahan), bertujuan memberi kemudahan asas untuk pelajar berkongsi kemudahan yang ada bagi menjalinkan hubungan antara pelajar-pelajar di lain-lain universiti.

Razif berkata, Universiti institut Teknologi Mara (UiTM) sudah bersedia untuk menghantar 1,200 pelajar bagi pengambilan sesi pertama di jangka September ini.
Bagaimanapun, keputusan masih belum muktamad bagi menilai kursus yang wajar ditawarkan supaya dapat memberi hasil dan juga menjamin permintaan tinggi pada masa akan datang.

“Kerajaan negeri mengutamakan kursus berkualiti tinggi seperti bidang yang menjurus kepada minyak, petroleum dan gas, teknikal, kejuruteraan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media dalam program Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di Tanjong Vista, Kuala Terengganu.

Kira-kira 30 wartawan media massa dan elektronik hadir pada majlis minum petang yang diadakan secara berkala.

Sementara itu, usaha Kerajaan Negeri mencalonkan Sekolah Imtiaz (menengah) dan beberapa buah sekolah lagi untuk mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) mencapai kejayaan apabila sekolah berkenaan dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (rendah) telah diiikriaf bersama 23 sekolah seluruh negara sebagai SBT.

Razif berkata, untuk tahun hadapan beberapa sekolah dicalonkan lagi oleh Terengganu termasuk SMK Lembah Bidong, SM Mak Lagam, SK Paya Bunga, Kompleks Seberang Takir dan Telok Kalong.

Sekolah-sekolah yang dicalonkan itu mempunyai kelebihan tersendiri termasuk mengadakan pembelajaran secara ‘kelas maya”.

Beliau akan mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Imtiaz Terengganu di Besut esok bagi meraikan kejayaan sekolah itu mendapat pengiktirafan sebagai SBT.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz akan diwujudkan di setiap daerah seluruh Terengganu dijangka dapat memenuhi permintaan ramai ibu bapa dan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dan sekolah berasaskan pendidikan agama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis mengumumkan nama 23 sekolah lagi yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas ia didapati memenuhi kriteria yang diperlukan, termasuk kedua-dua sekolah itu yang masing-masing terletak di Besut (Imtiaz)dan Kemaman (SK Sultan Ismail).

Tan Sri Muhyiddin membuat pengumuman nama-nama sekolah itu semasa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, kira-kira 55 kilometer dari Limbang, Sarawak yang merupakan salah satu daripada sekolah yang tersenarai di bawah pengiktirafan itu.

No comments:

Post a Comment