Sunday, February 27, 2011

Pertandingan Seni Khat Tawar Hadiah RM61,000, Piala Menteri Besar

Zubir menunjukkan iklan pertandingan seni khat peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Taman Tamadun Islam pada 12 hingga 13 Mac ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kepada penggiat seni khat seluruh Terengganu.

Hadiah berjumlah RM61,000 ditawarka kepada pemenang Pertandingan Seni Khat peringkat Kebangsaan yang diadakan di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, bulan depan.
Jangan lepaskan peluang ini untuk membuktikan bahawa penggiat khat Terengganu juga bertaraf nasional dan antarabangsa.

Pertandingan itu yang dijangka disertai kira-kira 300 peserta di kalangan penggiat serta pengkarya seni khat seluruh negara diadakan bersempena program Inspirasi Seni Khat TTI pada 12 dan 13 Mac depan.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Datuk Zubir Embong berkata, program tersebut dianjurkan kerajaan negeri menerusi agensinya, TTI Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Malaysia.

Beliau memberitahu, pada pertandingan itu nanti, para peserta juga berpeluang merangkul hadiah berupa Piala Menteri Besar Terengganu yang buat julung kali diwujudkan.

“Selain pertandingan ini, pelbagai acara menarik lain turut disediakan termasuk pameran,” katanya pada sidang akhbar mengenai program itu di Pusat Konvensyen TTI di Pulau Wan Man, baru-baru ini.


Hadir sama, Pengarah Urusan TTI Sdn. Bhd., Engku Md. Azmi Engku Abd. Rahman.


Menurutnya, program tersebut bakal menjadi platform berkesan dalam memperkasakan serta menanam minat supaya kecintaan terhadap seni khat terus subur di kalangan masyarakat terutama golongan muda.

“Selain menggalakkan penulis seni khat bergiat dan berkarya, ia diharap dapat membuka mata masyarakat mengenai keindahan dan nilai komersial dalam setiap seni yang dihasilkan di seluruh dunia,” katanya.

Kata Zubir, bagi karya spontan, dua kategori ditawarkan dalam pertandingan itu iaitu kategori terbuka untuk 18 tahun ke atas dan kategori sekolah bagi yang berusia 13 hingga 18 tahun dengan menonjolkan karya khat yang popular termasuk Thuluth, Kufi, Nasakh dan Diwani.

Bagi penulisan karya siap, katanya, peserta hanya dibenarkan menghantar satu karya daripada tiga kategori yang dipertandingkan sama ada kanvas, kayu atau logam.

“Dengan yuran penyertaan RM10 bagi setiap penyertaan, karya asli peserta hendaklah sampai kepada urus setia Inspirasi Seni Khat TTI sebelum hari pertandingan,” katanya.

Tokoh kaligrafi Islam, Prof. Dr. Muhammad Bukhari Lubis dari Universiti Pendidikan Sultan Idris menyampaikan ucaptama pada program berkenaan.

Program itu juga bakal mendapat sentuhan tokoh kaligrafi terkenal dunia dari Syria, Sheikh Adnan Sheikh Osman akan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang tersebut melalui seminar serta demonstrasi.

No comments:

Post a Comment