Kelab Kebajikan dan Sukan Kuala Terengganu (Kesun-KT) mengadakan Program 20 Hari Tarian Singa di setiap daerah bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina.
Pengerusinya, Dr. Alex Ong berkata, di samping itu, ia bagi mengetengahkan dengan lebih luas kepada masyarakat setempat tentang kesenian yang menjadi resam kaum Cina.
Katanya, program persembahan itu adalah antara tujuh kegiatan dirangka mulai kelmarin hingga 18 Februari depan bagi berkongsi kemeriahan sambutan itu.
"Ini termasuk bantuan kepada golongan miskin, rumah kebajikan, kempen keselamatan jalan raya dan program mesra rakyat," katanya pada majlis pelancaran Program 20 Hari Tarian Singa yang disempurnakan Tengku Sri Temenggong Raja, di Kuala Terengganu.
Katanya, Kesun-KT ditubuhkan tujuh tahun lalu dengan keahilannya terbuka kepada semua kaum dan pada masa kini seramai lapan daripadanya adalah orang Melayu, tiga keturunan Siam, seorang India manakala selebihnya kaum Cina.
Sementara itu, teganukita melaporkan, bagi sambutan Tahun Baru Cina Khamis ini , berbagai persiapan dibuat termasuklah oleh masyarakat Cina di Kampung China, di tengah bandar Kuala Terengganu.
Tinjauan mengenai persiapan sambutan di sektiar kampung China Terengganu yang bersejarah itu, mendapati suasana persiapan sambutan Tahun Arnab itu sungguh meriah sekali.
Exco Kerajaan Negeri, Toh Chin Yaw yang ditemui berkata bermula kelmarin, setiap malam sehingga Khamis ini diadakan program Ambang Sambutan Tahun Baru Cina dengan pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian singa, tukar topeng dan sebagainya..
Beliau berkata mala mini (Selasa) kira-kira jam 9.00 malam, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said akan meluangkan masa melawat perkampungan berkenaan dan bertemu penduduk dan singgah di beberapa buah rumah.
Pada Khamis, rumah terbuka Tahun Baru Cina untuk semua kaum akan diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman dan orang ramai dijemput hadir.
Katanya, tahun ini diadakan juga pertandingan menhiasi rumah dengan penyertaan seramai 44 buah rumah, bertambah dari tahun lepas hanya 33 penyertaan.
Menarik kali ini ialah penyertaan dua India dan empat orang Melayu.
No comments:
Post a Comment