Beberapa resort di pulau peranginan di Terengganu akan dibuka semula minggu depan setelah ditutup sejak tiga bulan lepas berikutan musim tengkujuh.
Setiausaha Persatuan Operator Resort Pulau Redang Loranz Law berkata setakat ini tiga resort di Pulau Redang iaitu Redang Lagoon, di Teluk Kalong, Holiday Redang dan Redang Reef di Pasir Panjang, akan mula dibuka minggu depan.
"Yang lain kita jangka akan beroperasi sama ada awal atau pertengahan Mac," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Loranz berkata pada masa ini kira-kira 200 pelancong tempatan telah menempah untuk ke Pulau Redang minggu depan.
Kerajaan negeri mengarahkan semua resort di pulau peranginan di Terengganu ditutup mulai 1 Nov lepas bagi mengelak bahaya kepada pelancong berikutan musim tengkujuh.
Loranz berkata terdapat 16 resort di Pulau Redang dan sembilan daripadanya adalah ahli persatuan.
Beliau berkata pada tahun lepas, kira-kira 250,000 pelancong -- 30 peratus dari Singapura, 15 peratus dari luar negara dan selebihnya pelancong tempatan -- mengunjungi Pulau Redang.
No comments:
Post a Comment