Tuesday, February 22, 2011

Terengganu Catat Pencapaian Tertinggi STPM 2010

Terengganu mencatatkan pencapaian tertingginya dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 yang meletakkan negeri itu dalam kelompok terbaik.

Pengarah Pelajaran negeri, Razali Daud memberitahu semalam, daripada 52 sekolah yang menempatkan calonnya di negeri ini, 22 daripadanya mencapai kelulusan 100 peratus berbanding hanya 13 sekolah pada tahun 2009.

''Jumlah sekolah yang lulus penuh turut mengalami peningkatan sebanyak 1.1 peratus iaitu daripada 95.99 peratus kepada 97.09 peratus.

''Turut mencatatkan peningkatan membanggakan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) memperoleh 2.49 peratus berbanding 2.38 peratus bagi tahun sebelumnya,'' katanya.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata, seramai 12 pelajar mencapai PNGK 4.0 berbanding hanya lapan pelajar bagi tahun 2009.

Seramai 3,302 calon mengambil peperiksaan itu di 52 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.

Pencapaian calon yang mendapat 5 prinsipal juga meningkat kepada 0.26 peratus iaitu daripada 8.44 peratus kepada 8.7 peratus manakala calon yang mendapat 4 prinsipal meningkat 1.9 peratus (44.06 peratus pada 2010 manakala 2009 pula 42.16 peratus).

"Sehubungan itu, dengan peningkatan dalam pelbagai sudut, dapat saya simpulkan bahawa pencapaian STPM bagi negeri Terengganu pada kali ini adalah yang terbaik jika dibandingkan tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Razali berkata, daripada 18 mata pelajaran yang diambil calon, 10 subjek iaitu Kesusasteraan Melayu, Sains Sukan, Seni Visual, Komputer, Matematik Tambahan, Syariah, Pengajian Perniagaan, Bahasa Malaysia, Pengajian Am dan Kimia menunjukkan peningkatan dan lulus penuh.

Sementara itu, Razali memberitahu, 11 daripada 22 sekolah itu pula mencapai kecemerlangan dari segi PNGK iaitu menyamai atau melebihi nilai 2.67 berbanding hanya sembilan sekolah pada tahun sebelumnya.

Antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemaman; SMK Bukit Payong, Besut (gambar kiri) ; SMK Tengku Bariah, Kuala Terengganu; SMK Cheneh Baru, Kemaman; SMKA Nurul Ittifaq, Besut serta SMKA Durian Guling, Marang.

"Sekolah cemerlang lain ialah SMK Padang Midin, Kuala Terengganu; SMK Nasiruddin Shah, Besut; SMK Chalok, Setiu; SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan SMK Tengku Lela Segera, Marang.

Jelas Razali, calon yang mendapat PNGK 4.0 pula terdiri daripada Nik Muhammad Afiq Mohamad Nasrudin dari SMK Putra, Jerteh; Aisyah Faizah Zaki (SMA Maarif, Besut); Nursyahirah Mohd. Hasry (SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu); Nazhirah Mohd. Zaki (SMK Tengku Lela Segera) dan Muhammad Irsyad Khir Jamaludin (SMK Tengku Mahmud, Besut).

Katanya, calon lain yang mendapat keputusan itu ialah Nor Masrina Masri dan Mohd. Khairul Adhar Ariffin (SMK Bukit Payong), Noorsuriati Awang (SMK Padang Midin), Zulfadhli Ismail (SMK Panji Alam, Kuala Terengganu); Goh Huei Huei dan Lee Jia Kie (SMK Tengku Bariah) serta Asuhana Yusof Latif (SMK Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu).

"Kebanyakan calon ini datang dari sekolah biasa di luar bandar tetapi memiliki pencapaian yang mengagumkan.

"Justeru, saya percaya, dengan komitmen, semangat permuafakatan serta sokongan semua pihak, prestasi calon-calon STPM bagi tahun-tahun seterusnya akan dipertingkatkan selari dengan slogan JPNT 'Melestarikan Pendidikan Terbilang'," katanya.

No comments:

Post a Comment