Thursday, February 3, 2011

Terengganu Sedia Jadi Tuan Rumah LTdL

Oleh Esah Abdullah (UKOM)

Kerajaan negeri menawarkan diri dan bersedia mengeluarkan belanja untuk menjadi tuan rumah dalam kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada masa akan datang.

“Atau sekurang-kurangnya menjadi destinasi terakhir ‘final stage’ bagi kejohanan itu,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, semalam.

Katanya, perkara sebegini biasa berlaku bagi negara luar yang sanggup mengeluarkan belanja semata-mata untuk menarik sesuatu kejohanan ke tempat mereka kerana di sebalik acara yang berlangsung banyak faedah yang diperolehi termasuk publisiti dari sudut pelancongan.

“Sebab itulah saya beri tawaran kepada penganjur agar kejohanan LTdL akan datang peringkat akhir diadakan di Terengganu dan ianya boleh dimulakan dari Kemaman dan berakhir di Bandar Kuala Terengganu,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad seterusnya melahirkan rasa bangga dengan pencapaian pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) yang pertama kali menyertai LTdL yang baru berakhir semalam.

“Pelumba kita telah memberi saingan hebat dan sering berada dalam kelompok hadapan dalam setiap pusingan (10 pusingan) sepanjang kejohanan berlangsung dan akhirnya berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 pasukan terbaik kejohanan,” katanya.

Katanya, sebagai persiapan menyertai kejohanan akan datang, pasukan kedua akan diwujudkan bagi membantu pasukan pertama mengatur strategi memenangi kejohanan yang disertai.

“Kerajaan bercadang menghantar pasukan kedua ini menjalani latihan di India dan pasukan pertama akan menjelajah ke seluruh negara sebelum di hantar ke Shanghai,” katanya.

No comments:

Post a Comment