Sunday, February 20, 2011

Terengganu Terbabit Dalam Menjayakan Projek Melaka Trem Sebagai Ikon Utama Negara

Najib menerima model Trem Melaka yang direka khas oleh TATiUC daripada Jeyakumar sambil diperhatikan Tengku Abdul Rahman, Mohd Ali dan Ahmad Said pada majlis pecah tanah di Air Keroh, Melaka petang semalam. - Gambar Unit Komunikasi Negeri.

Ramai tertanya-tanya kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta tiga Exco kerajaan Negeri Terengganu pada majlis pecah tanah projek Melaka Trem di Air Keroh, Melaka petang semalam.

Kehadiran mereka bagaimanapun diperjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apabila mengatakan Ahmad Said berada di majlis itu kerana projek ini turut membabitkan Terengganu.

Terengganun terbabit dalam melatih pekerja Melaka Trem apabila mereka akan dihantar ke Kolej Universiti Tati (TATiUC) di Telok Kalong, Kemaman, selain institusi itu juga akan menyediakan kepakaran bagi ujian landasan atau 'test track'.

"Sebenarnya projek ini ada kaitan dengan tiga negeri iaitu Melaka, Pahang dan Terengganu," tegas Najib.

Perdana Menteri menyifatkan projek Melaka Trem bernilai RM272 juta di Ayer Keroh di sini, mampu menjadi ikon utama negara apabila ia siap kelak.

Menurut beliau, trem yang pertama di dunia menggunakan gas asli (NGV) itu bukan sahaja bakal dinikmati oleh penduduk Melaka malah keseluruhan rakyat negara ini.

Beliau teruja dengan pelaksanaan projek itu kerana teknologinya dibangunkan oleh rakyat tempatan yang juga Presiden dan Pengarah Urusan syarikat pengeluar trem, Mrails International Sdn. Bhd., Datuk Jeya Kumar.

"Kita perlu mencetuskan produk-produk yang lebih unik lagi menarik.

"Melaka Trem ini dianggap unik kerana ia belum pernah dilakukan dan trem ini pertama di dunia yang menggunakan NGV sebagai tenaga penggerak," katanya ketika Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan penaung Mrails International Sdn. Bhd., Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Tiga Exco Terengganu yang hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri Datuk Mohamed Awang Tera dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Zaaba Mohd Adib.

Melaka Trem yang dijadual siap pada Mei tahun depan dilaksanakan secara usaha sama di antara Melaka, Pahang dan Terengganu yang menyediakan khidmat pusat latihan bagi pengendalian pemanduan trem.

Landasan trem sejauh 40 kilometer itu bermula dari Plaza Tol Ayer Keroh melalui 23 lokasi termasuk tempat-tempat bersejarah hingga ke Dataran Pahlawan di Bandar Hilir.
Antaranya landasan trem akan melalui Hotel Seri Malaysia, Taman Botanikal, Zoo Melaka, Masjid Al-Azim, Muzium, Dataran Pahlawan, Kelab Harbour, Kampung Hilir dan Hospital Putra.

Caj bayaran kemudahan trem tersebut juga dilihat mesra rakyat dan antara terendah di dunia iaitu RM2 untuk sekali perjalanan manakala RM5 bagi perjalanan sehari.

No comments:

Post a Comment