Kerajaan Terengganu sedang berurusan dengan kedutaan Malaysia di Mesir untuk mendapat gambaran terkini serta menunggu berita dari Wisma Putra sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kepulangan semula pelajar dari negeri ini ke Mesir.
“Apa-apa pun kita kena tunggu dan selaras dengan Kerajaan Pusat bila dan masa sesuai mereka boleh kembali ke Mesir,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam.
Beliau menyatakannya kepada pemberita sebaik selesai Majlis Temu Mesra Menteri Besar Bersama Pelajar Terengganu Yang Menuntut di Mesir, di Dewan Besar Wisma Darul Iman petang semalam (16 Februari).
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Abdul Aziz Mamat.
Menurut Menteri Besar, setakat ini hampir semua pelajar negeri ini sama ada di bawah tajaan YT, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta orang persaorangan telah selamat pulang i dan penerbangan terakhirnya malam semalam.
“Namun begitu terdapat 13 orang rakyat negeri ini enggan balik dan mengambil keputusan untuk terus tinggal di asrama kerajaan negeri di Mesir,” katanya.
Ahmad Said berkata, kerajaan mengambil berat dan amat memahami situasi pelajar-pelajar yang sebahagiannya belum sempat ambil peperiksaan dan sedaya upaya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Jika keadaan mengizinkan, kerajaan sanggup menerbangkan pensyarah dari Mesir ke negeri ini serta menyediakan tempat sesuai, agar pelajar kita dapat menduduki peperiksaan mereka kerana kalau krisis ini berpanjang akan merugikan pelajar kita,” katanya.
Kerajaan juga turut memberi penghargaan kepada 21 orang Jawatankuasa Khas Perpindahan Pelajar terdiri dari pegawai YT dan pelajar yang terbabit secara terus dalam operasi perpindahan pelajar dari Mesir ke Jeddah, Jeddah ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Terengganu.
Jawatankuasa berkenaan di ketuai Penolong Setiausaha Kerajaan bahagian Agama dan Penerangan negeri Haji Lukema Meri Salleh yang menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM500 setiap seorang dan disampai oleh Menteri Besar
Kelmarin, Menteri Besar berkata kerajaan negeri belum memutuskan siapa yang perlu menanggung kos penghantaran pulang pelajar negeri ini ke Mesir yang dibawa pulang ke Malaysia menerusi Ops Piramid baru-baru ini.
Katanya, sebarang keputusan diambil kerajaan negeri sama ada boleh membiayai penerbangan pulang pelajar berkenaan ke Mesir bergantung kepada langkah diambil Kerajaan Persekutuan
“Kita akan bincang dengan Kerajaan Persekutuan dan sebarang tindakan yang akan kita ambil, perlu tunggu keputusan daripada Pusat,” katanya selepas menyambut kepulangan 140 pelajar tempatan yang pulang dari Mesir di kediamannya di Batu Buruk di sini, malam kelmarin.
Beliau berkata, hampir semua pelajar Terengganu yang belajar di Mesir sudah selamat pulang ke negeri ini.
Unit Komunikasi Negeri
No comments:
Post a Comment