Friday, February 25, 2011

UMT tuan rumah SUKANUN 8-14 April

Dr Aziz (dua dari kiri) melancarkan maskot Hyppocampus atau kuda laut, dan bendera SUKANUN di Dewan Sultan Mizan, baru-baru ini.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya diberi mandat menganjurkan Sukan Persatuan Badan-Badan Berkanun Malaysia kali ke 7 (SUKANUN) pada 8 hingga 14 Mei depan.

Sebagai permulaan, UMT melancarkan perasmian maskot Hyppocampus atau kuda laut, lagu rasmi kejohanan bertajuk ‘Legasi Timur’ dan bendera SUKANUN oleh Naib Canselornya, Prof Dr Aziz Deraman di Dewan Sultan Mizan sebagai tanda persediaan menganjurkan temasya kedua terbesar selepas Sukan Malaysia itu, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati di atas kepercayaan yang diberikan Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia kepada UMT untuk menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan.

“Pembabitan kami dalam SUKANUN mungkin hanya baru beberapa tahun tapi saya percaya dalam masa lima tahun lagi, UMT bakal bergelar juara.

"Sebagai langkah persediaan, pihak kami memastikan setiap kakitangan memilih satu sukan untuk dijadikan aktiviti harian sejajar dengan ‘Satu kakitangan satu sukan’ seperti yang dihasratkan pada amanat 2011," katanya.

Terdahulu program dimulakan dengan penyerahan bendera kepada Konvoi Persatuan Volkswagen Terengganu dan Persatuan Basikal UMT di Mesra Mall, Kertih, Kemaman.

Acara itu membabitkan 30 kereta Volkswagen dan Mini-cooper serta 30 basikal untuk berkonvoi bersama-sama sambil mengibarkan bendera SUKANUN sepanjang perjalanan hingga ke Dewan Sultan Mizan untuk diserahkan kepada Dr Aziz.


Dr Aziz berkata, bagi memastikan UMT memberikan saingan sengit kepada pasukan lain, pusat sukan giat melakukan pemilihan atlet untuk mewakili universiti dengan mengadakan pelbagai pertandingan sukan dalam kalangan kakitangan.

“Selain itu, dengan penganjuran SUKANUN kelak, dijangka ia bukan saja bakal menaikkan nama Terengganu sebagai negeri yang mempunyai pelbagai keunikan dan budaya, tetapi juga dapat membantu menambah pendapatan masyarakat setempat ketika sukan itu berlangsung nanti,” katanya.

Temasya berprestij itu juga menyaksikan penyertaan sebanyak 93 agensi badan-badan berkanun seluruh Malaysia membabitkan 7,000 pegawai dan atlet.

Sebanyak 17 acara sukan dipertandingkan termasuk bola sepak (9 Sebelah), bola jaring, badminton, tenis, golf berpasukan, ping pong, futsal, boling padang, perbarisan kontingen, sepak takraw, karom, dart, tarik tali, pencarian harta karun dan tenpin boling dengan pengenalan dua acara baru iaitu memancing serta bola tampar pantai.

Pada majlis sama, laman web temasya berkenaan dilancarkan iaitu www.sukanun7.umt.edu.my yang berperanan sebagai pusat sehenti bagi memudahkan semua pihak terbabit mendapatkan keputusan serta maklumat terbaru sepanjang temasya berlangsung.

No comments:

Post a Comment