Friday, February 25, 2011

UniSZA Mahu Perluas Konsep Penyembelihan Halal ke Luar Negara

Peserta menerima sijil selepas menyertai Bengkel Penyembelihan Halal, di UniSZA Kampus Kota, Kuala Terengganu daripada Prof. Dr Alias.

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merancang memperluaskan konsep penyembelihan halal kepada masyarakat Muslim di luar negara tidak lama lagi.

Naib Canselor UniSZA Prof. Datuk Dr. Alias Daud berkata, masyarakat Muslim luar negara yang berminat mengetahui lebih mendalam tentang kepakaran penyembelihan halal dan bersih, bolehlah mengikutinya di universiti berkenaan.

"Kita menyediakan medium dalam bahasa Inggeris untuk peserta dari negara asing mengikuti kursus itu kelak,” katanya selepas menutup Bengkel Penyembelihan Halal anjuran UniSZA di Kuala Terengganu, kelmarin.

Bengkel dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan lain-lain agensi kerajaan itu disertai 40 peserta terdiri daripada pengusaha makanan serta kakitangan mereka selain orang perseorangan yang berminat.

“Tahun ini UniSZA akan mengadakan empat siri perbengkelan mengenai penyembelihan halal ini dan orang ramai dialu-alukan untuk membabitkan diri dalam program ini,” kata Prof. Dr Alias Daud.

Tahun lalu UniSZA berjaya mengadakan bengkel ini dua kali dan tahun ini bercadang menambahnya kepada empat dimana peluang ini harus dimanfaatkan oleh orang ramai kerana asas pengetahuan dalam soal penyembelihan halal ini jarang diadakan oleh mana-mana agensi.

“Peserta akan diberi sijil penyertaan oleh UniSZA dan jika lulus dalam sesi penilian dan temuduga yang dikendalikan oleh panel dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kesihatan ,” katanya.

Sehubungan itu katanya, peserta yang berjaya akan dicadangkan kepada Jawatankuasa Persijilan Penyembelihan Halal Negeri Terengganu untuk perakuan dan dianugerahkan Sijil Penyembelihan.

No comments:

Post a Comment