Friday, March 4, 2011

12 Pasukan Benua Sahkan Penyertaan Dalam Jelajah 1Malaysia

Sebanyak 30 pasukan termasuk 12 pasukan benua dan empat pasukan kebangsaan akan mengambil bahagian pada perlumbaan berbasikal Jelajah 1 Malaysia (JM 2011) dari 8 hingga 13 Mac.

Dua daripada pasukan benua adalah dari Malaysia iaitu Le Tua Cycling Team (L2A) dan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG).

Pasukan benua lain ialah Giant Kenda Cycling Team (Taiwan), Aisan Racing Team (Jepun), Champion System (Hong Kong), Genesys Wealth Advisers (Australia), Holy Brother Cycling Team (China).

Kelly Benefit Strategies-Optum Health (Amerika Syarikat), Tabriz Petrochemical (Iran), Team Eddy Merckx-Indeland (Jerman), Sp Tableware (Greece) dan Vali Asr Kerman (Iran).

"Saya amat bangga dengan pertambahan penyertaan bagi perlumbaan edisi ke-47 ini," kata Ketua Pegawai Operasi JM2011, Datuk Naim Mohamed, pada sidang media selepas menerima penajaan bernilai RM180,000 daripada Nestle Products Sdn Bhd dan pengumuman MILO, sebagai penaja jersi Hijau (Raja Pecut), di sini Khamis.

Penajaan itu disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Products, Ng Ping Loong.

Selain pasukan benua, Naim, yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), berkata empat pasukan kebangsaan tersebut ialah Brunei, Thailand, Uzbekistan dan Malaysia manakala selebihnya adalah pasukan kelab tempatan dan luar negara.

Katanya barisan pelumba muda dan berpengalaman akan menggalas cabaran Malaysia iaitu Ahmad Fakhrullah Alias, Mohd Akmal Amrun, Muhammad Adiq Husainie Othman, Sarham Miswan, Mohd Zulhilmi Afif Ahmad Zamri dan Mohd Al-Ghazali Abd Hamid.

Antara tarikan utama perlumbaan kali ini ialah penampilan pelumba Estonia, Jaan Kirsipuu, yang akan beraksi bersama pasukan Champion System dari Hong Kong.

Pelumba berusia 43 tahun itu pernah memenangi perlumbaan peringkat dalam Tour de France bersama pasukan Ag2r Prevoyance serta pernah mewakili pasukan L2A pada 2009.

Pelumbaan JM2011, anjuran PKBM, akan melalui enam peringkat melibatkan kayuhan kira-kira 1,011 kilometer dan bermula di Kota Iskandar, Johor, pada 8 Mac ini dan berakhir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, pada 13 Mac.

No comments:

Post a Comment