Thursday, March 3, 2011

Bonsai Sebagai Produk Pelancongan Terengganu

Spesis baru pokok herba iaitu Cucur Atap (Beackea Frutescen) yang sesuai dijadikan bonsai akan diperkenalkan pada program tahunan terbesar kalendar bonsai Malaysia "Karnival Pertandingan Bonsai Asean" bermula 12 Mac ini.

Program yang diadakan selama dua hari itu adalah anjuran Persatuan Seni Bonsai Kelantan dengan kerjasama Bonsai and Stone Academy dan Kelab Bonsai Antarabangsa yang disertai oleh anggota bonsai seluruh Malaysia dan Asean.

Naib Presiden (1) persatuan itu, Noryadi Noruddin berkata pokok herba itu akan diperkenalkan berikutan nilainya yang tinggi terdapat di Terengganu dan sangat sesuai dijadikan bonsai.

"Kehebatan bonsai cucur atap dan penilaian harganya yang mencecah ribuan ringgit diharap dapat menjadi sumber pendapatan tambahan kepada ahli bonsai," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata program itu juga memberi pendedahan kepada anggotai bonsai yang belum pernah mencari dan menggali pokok Cucur Atap itu.

"Ahli bonsai diberi peluang merasai pengalaman sebenar mencari asas cucur atap di kawasan semulajadinya dan memberi peluang kepada ahli bonsai untuk menonjolkan tahap kreativiti dalam mencipta asas bonsai cucur atap yang menarik," katanya.

Beliau berkata objektif program itu juga adalah untuk mewujudkan ruang diskusi dan forum bonsai, memperkenalkan bonsai sebagai produk pelancongan Terengganu dan memupuk semangat persahabatan dan kerjasama bagi seluruh pencinta bonsai tanahair dan di seluruh rantau asia.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik akan berlangsung sepanjang program itu antaranya demonstrasi seni lukisan bonsai dan karnival bonsai.

No comments:

Post a Comment