Pelumba negara, Fatehah Mustapa berjaya mencuri mata kelayakan Olimpik 2012 apabila menduduki tempat ke-10 dalam acara 500m ujian masa pada Kejohanan Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda kelmarin.
Kejutan yang diharapkan pada Kejohanan Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda belum menjadi, malah pelumba negara yang menyertai acara pecut berpasukan, 500 meter ujian masa wanita dan perlumbaan scratch sekadar melengkapkan jadual kelmarin.
Trio negara, Josiah Ng, Edrus Yunos dan Rizal Tisin terlebih membuka tirai perlumbaan untuk kem Malaysia, namun mereka sekadar menduduki tempat ke-15 daripada 18 pasukan dalam saingan akhir dengan melakukan catatan 46.470 saat.
Pelumba tunggal wanita, Fatehah Mustapa pula mempamerkan persembahan sedikit membanggakan apabila memungut mata kelayakan Sukan Olimpik dalam acara 500m ujian masa selepas menduduki tempat ke-10 (36.458s).
Malang buat pelumba remaja negara, Muhd. Arfy Qhairant Amran kerana gagal menghabiskan perlumbaan scratch dalam penampilan pertamanya pada Kejohanan Trek Dunia.
Pengurus pasukan, Datuk Naim Mohamad tetap berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan Fatehah kerana menepati sasaran yang ditetapkan, walaupun sedikit mendukacitakan apabila skuad pecut berpasukan sekadar menduduki tempat ke-15 daripada 18 pasukan dalam saingan akhir.
"Bagi memperoleh mata kelayakan Sukan Olimpik mereka perlu menduduki tempat 10 terbaik namun kita gagal dalam pecut berpasukan, cuma Fatehah sahaja yang memperoleh mata tersebut selepas meraih tempat ke-10," katanya kelmarin.
Jelasnya, walaupun Fatehah berjaya meraih mata tetapi kayuhannya tidak berapa mantap kerana pelumba kelahiran Terengganu itu pernah melakukan masa yang lebih baik dengan kayuhan 50 kilometer sejam berbanding 49km sejam, kelmarin.
"Pasukan pecut boleh saya klasifikasi sebagai kurang bernasib baik kerana basikal milik pelumba veteran, Josiah mengalami sedikit masalah, seterusnya menghalang mereka untuk mencatat masa yang baik walaupun Rizal dan Edrus sudah memberikan kayuhan mantap.
"Saya juga berasa tidak terkejut dengan prestasi Arfy kerana dia masih kurang pengalaman berbanding pelumba lain yang sudah masuk peringkat senior, sekurang-kurangnya dia belajar daripada kesilapan kali ini," katanya.
Sementara itu, Edrus berkata, dia telah mencuba sebaik mungkin bagaimanapun hanya itu yang mampu diberikannya walaupun tidak berdepan dengan sebarang masalah dalam perlumbaan pecut berpasukan itu.
"Mungkin saya belum mencapai persefahaman yang mantap dengan Josiah dan Rizal, namun saya yakin masih ada ruang buat kami untuk memperkemaskan rentak kayuhan dan mencapai sasaran untuk melakukan kayuhan bawah 46 saat," katanya.
Bagi Fatehah pula, dia mengakui sudah mencuba yang terbaik tetapi tetap berpuas hati dengan prestasi kayuhannya dan bersedia untuk memberi tumpuan bagi acara lain pula.
"Fokus saya sekarang ini adalah untuk perlumbaan scratch dan keirin, sudah tentu saya mahu melakukan yang terbaik berbanding semalam, terutama sekali dalam acara kegemaran saya, keirin," kata pelumba yang disenaraikan dalam Program Road To London 2012 itu.
Saingan pelumba negara akan diteruskan awal pagi ini apabila Edrus turun dalam acara pecut 200m bersama dengan pelumba muda Arfy.
No comments:
Post a Comment