Tuesday, March 8, 2011

Hutan Seluas 18 Hektar Di Bukit Kecil Terbakar

Lebih 19 hektar kawasan hutan di Bukit Kecil di Kuala Terengganu musnah dalam kebakaran yang bermula petang semalam, bagaimanapun keadaan kebakaran kini terkawal dengan beberapa kawasan masih mengalami kebakaran kecil.

Penolong Penguasa Bomba Kuala Terengganu Mohd Khairul Anuar berkata Isnin, lebih 100 anggota dan pegawai bomba termasuk pelatih dari Akademi Bomba Wakaf Tapai dan Bomba Sukarela Kuala Nerus Manir bertungkus lumus 24 jam untuk mengawal kebakaran itu.

Katanya kebakaran bermula kira-kira 2 petang semalam dan hujan lebat tengah malam telah membantu memadamkannya, bagaimanapun kebakaran itu merebak semula tengah hari ini akibat keadaan berangin dan cuaca panas.

Setakat pukul 4 petang semalam, anggota bomba masih lagi menjalankan operasi pengawalan api dan beberapa kawasan di hutan itu masih mengalami kebakaran kecil.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan, kita telah menghantar jentera dan anggota bomba untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan kediaman dan beberapa bangunan milik kerajaan yang terletak berhampiran kawasan kejadian," katanya.

Antaranya bangunan Jabatan Pelajaran Negeri Kuala Terengganu, Jabatan Kimia, Radio Televisyen Malaysia Bukit Pak Apil dan Sekolah Menengah Kebangsaan Chong Hwa Wei Sin.

Mohd Khairul berkata bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian kebakaran hutan tersebut.

No comments:

Post a Comment