Tuesday, March 29, 2011

Jangan Kekang Perkhidmatan AirAsia

Seorang penyokong kerajaan pada Isnin meminta kerajaan agar tidak mengekang perkhidmatan AirAsia dengan memaksanya berpindah dari Terminal 2 Lapangan Terbang Kota Kinabalu ke terminal baru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Datuk Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) memberitahu persidangan Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan seharusnya tidak berbuat demikian dengan mengetepikan syarikat yang berdaya saing seperti AirAsia yang berjaya merevolusikan industri penerbangan serantau dan menyumbang kepada ekonomi negara dari sektor pelancongan.

"Kita tidak ada masalah dengan Malaysia Airlines, kita tidak mempertikaikan bantuan kerajaan kepada MAS, tetapi hanya tidak mahu wujud persepsi daripada kakitangan kerajaan atau kementerian yang mengekang semangat keusahawanan (AirAsia)," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011.

Abdul Rahman berakta AirAsia adalah sebuah syarikat yang berdaya saing berdasarkan kemampuan dan potensinya tanpa mendapat banyak bantuan daripada kerajaan.

AirAsia dilaporkan teragak-agak untuk berpindah dari tempat beroperasi kini di Terminal 2 ke Terminal 1 KKIA yang baru diperbesarkan kerana kosnya akan meningkat sekaligus memaksanya mengurangkan penerbangan. Abdul Rahman berkata AirAsia yang telah beroperasi selama 10 tahun itu telah banyak mencapai kejayaan yang tidak boleh dipertikaikan termasuk membawa lebih enam juta pelancong ke negara ini sehingga 2008.

Menurutnya syarikat penerbangan tambang murah itu telah membuat penerbangan ke berpuluh negara melalui lebih 240 destinasi menggunakan 120 pesawat.

"Apa guna AirAsia berpindah ke KKIA tetapi terpaksa mengenakan caj tinggi kepada penumpang. Dikhuatiri (harga) tiket melambung naik dan akan merugikan syarikat yang membantu usaha membawa pelancong ke negara ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya bersikap terbuka sekiranya AirAsia enggan berpindah kerana syarikat itu masih boleh bertahan lama di terminal yang disediakan pada masa kini tanpa menaikkan tambang.

Katanya Malaysia Airports Berhad tidak harus terus mendesak untuk mengarahkan syarikat itu berpindah ke KKIA untuk kepentingan negara dalam memajukan industri penerbangan negara.

Cadangan itu turut mendapat pandangan baik daripada beberapa anggota Parlimen termasuk Salleh Kalbi (BN-Silam), Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit), Mohd Nor Othman, (BN-Hulu Terengganu) dan Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) yang mengakui peranan besar yang dibawa oleh syarikat penerbangan itu dalam konteks kepentingan negara.

Salleh berkata AirAsia adalah lambang kepada pelan perjalanan yang boleh dinikmati keseluruhan rakyat dengan menawarkan tambang lebih murah. Nanta pula berkata AirAsia merupakan jenama industri penerbangan negara yang berjaya dan rakyat Malaysia harus terus memberi sokongan kepada syarikat itu sebagai jenama yang terbukti berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Persidangan dewan disambung hari ini.

No comments:

Post a Comment