Monday, March 7, 2011

Kakak, Adik Mengaku Ambil Pil Kuda

Walaupun pernah ditangkap bersama teman lelaki selain beberapa kes membabitkan penyalahgunaan dadah yang masih dalam perbicaraan mahkamah, gadis berusia 16 tahun ini semakin liar apabila sekali lagi ditahan bersama kakaknya.

Gadis yang tercicir pelajaran sejak tingkatan satu ini didapati positif ujian awal saringan air kencing bersama kakaknya berumur 19 tahun yang bekerja sebagai pelayan kedai makan di Plaza Kuala Terengganu.

Dua beradik dari Kampung Awang Lek, Mengabang Telipot, Batu Rakit itu didapati positif ujian awal saringan air kencing jenis methamphetamine.

Kedua-duanya mengaku mengambil pil kuda berkenaan di rumah sewa mereka di Kampung Losong, tiga hari lalu selepas ditangkap dalam satu Ops Samseng Jalanan di Jalan Pantai Batu Buruk, kira-kira jam 2.15 pagi semalam.

Ketika ditahan, gadis berkenaan yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 bersama kakaknya juga tidak memiliki lesen memandu sah, manakala kad pengenalannya dibawa seorang remaja lelaki yang mendakwa tinggal bersama gadis berkenaan 15 minit kemudian.

“Saya tidak terfikir untuk membawa kad pengenalan memandangkan saya hanya meminjam motosikal sepupu untuk membeli makanan bersama kakak disebabkan lapar.

“Saya minta maaf dan sudah telefon kawan untuk membawa kad pengenalan itu ke sini,” kata gadis berkenaan ketika ditahan anggota trafik.Dua beradik itu kemudian dibawa ke Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan saringan awal ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphitamine.

Malah, kakak gadis berkenaan yang kurang pendengaran turut mendakwa hanya mengambil dadah itu bersama adiknya kira-kira tiga hari lalu di rumah sewanya di Kampung Losong bersama teman lelaki dan beberapa rakan lelaki mereka.

“Kali terakhir saya ambil pil kuda tiga hari lalu setelah diberikan adik. Saya ingatkan tidak sangkut sebab sudah tiga hari dan tidak tahu pun ia boleh lekat,” katanya ketika ditemui di Pejabat Trafik IPD Kuala Terengganu.

Mereka kini direman di lokap IPD Kuala Terengganu mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh, manakala gadis berkenaan turut dikenakan saman atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu sah.

Dalam operasi empat jam bermula 12 malam yang dijalankan bahagian Trafik IPD Kuala Terengganu diketuai Inspektor Zainon Abidin Ismail bersama 17 anggota, dua buah motosikal disita dan 32 saman dikeluarkan membabitkan 38 kesalahan.

Harian Metro & Sinar Harian

No comments:

Post a Comment