Thursday, March 3, 2011

Kementerian Pengajian Tinggi Pertingkat Usaha Tarik Penuntut Dari Negara Maju

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini berusaha menarik lebih ramai penuntut dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah untuk belajar di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah berkata daripada 86,923 pelajar antarabangsa di negara ini, bilangan penuntut dari negara maju amat kecil iaitu 57 dari Amerika Syarikat, 20 dari Kanada, 19 dari Australia, 17 dari Jepun, 12 dari Perancis dan tiga dari New Zealand.

"Ini peratusan yang sangat kecil dan kita tidak gembira dengan angka ini. Sebab itulah jabatan pemasaran kita kini giat berusaha untuk menarik lebih ramai pelajar dari negara maju," katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat Menteri Pengajian Tinggi Belgium Jean-Claude Marcourt, di Universiti Multimedia, di Cyberjaya semalam.

Saifuddin berkata antara kelebihan Malaysia yang boleh menarik penuntut terbabit ialah kos yang kompetitif, lokasi yang strategik serta hubungan baik dengan negara Islam lain serta kebolehan berbahasa Inggeris pada kalangan rakyat.

Daripada aspek pensyarah pula, Saifuddin berkata bilangan pensyarah dari negara maju dan universiti terkemuka dunia yang mengajar di negara ini juga masih di tahap sederhana.

"Saya menyarankan agar usaha menggalakkan kolaborasi dari segi penyelidikan dan perkongsian kepakaran antara KPT dengan universiti-universiti terbaik dunia dipergiat oleh KPT dan institusi pengajian tinggi tempatan," katanya.

Saifuddin sebelum itu turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara tiga institusi negara ini dengan tiga institusi dari Belgium iaitu iaitu MMU dengan Haute Ecole de la Province de Liege (HEPL), NetAcademy dengan HEC-ULG dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan University of Brussels.

Beliau berkata beberapa isu turut dibincangkan semasa lawatan Marcourt itu termasuk kemungkinan mengadakan program pertukaran pelajar dan pensyarah antara kedua-dua negara.

"Kita juga meminta rakan sejawatan kita dari Belgium agar mencadangkan beberapa universiti untuk kita hantar pensyarah kita ke sana dan mempelawa mana-mana universiti di Belgium yang berminat membuka kampus di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment