Terengganu Development Management (TDM), melalui anak syarikatnya TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) dijangka dapat mengurangkan kos operasinya antara 10 hingga 15 peratus setahun apabila menggunakan baja keluaran sendiri.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ini berikutan TDMP telah membina sebuah kilang baja bio organik dan juga Medan Infodesa di Sungai Tong, bernilai RM3.4 juta.
"Sekarang kami dapat mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan baja kimia sebanyak 15 peratus atau penjimatan kos operasi lebih kurang RM15 juta setahun dengan adanya kilang baja bio organik sendiri.
"Sebelum ini TDM membelanjakan antara RM50 hingga RM60 juta untuk kos pembajaan ladang kelapa sawitnya setahun," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kilang Baja Bio-Organik dan Medan Infodesa (MID) di Sungai Tong, semalam.
Turut hadir Pengerusi TDM Berhad Datuk Roslan Awang Chik.
Ahmad berkata sebagai langkah permulaan, kapasiti pengeluaran Kilang Baja Bio-Organik yang mula beroperasi Jun 2010 itu adalah sebanyak 2,000 tan metrik sebulan atau 24,000 tan metrik setahun.
Beliau berkata pengeluaran baja bermutu tinggi dari kilang itu buat masa ini hanya cukup untuk menampung penggunaan baja di ladang-ladang milik TDM sahaja.
Katanya sekarang ini TDM merancang untuk membina sebuah lagi kilang seumpama itu di kawasan Ladang Tayor Kemaman memandangkan kos operasi begitu tinggi tahun ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan kos untuk pembinaan kilang tersebut.
Mengenai MID, Ahmad berkata ia amat sesuai digunakan untuk aktiviti seperti kursus profesional dalam bidang multimedia, pembangunan perisian aplikasi, laman web, penyenggaraan komputer serta rangkaian komputer.
Ini selaras dengan objektif Program Infodesa Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dalam mengatasi masalah jaringan digital antara komuniti bandar dan luar bandar.
Sementara itu, Roslan berkata bahagian perladangan TDM yang mengeluarkan 25 peratus minyak kelapa sawit dari Terengganu, menguruskan 12 ladang sawit seluas 32,879 hektar.
Katanya bagi memastikan kelestarian sumbangan hasil dari bahagian peladangan, TDM sudahpun memperoleh 25,000 hektar dari sejumlah pakej tanah seluas 40,000 hektar di Kalimantan, Indonesia.
Menurut Roslan tanah di Kalimantan itu sedang giat diusahakan secara berperingkat, dan daripada jumlah itu seluas 3,000 hektar telah selesai dimajukan pada tahun lepas.
No comments:
Post a Comment