Sunday, March 20, 2011

Penerbangan Umrah Terus KL - Jeddah Bukti Kerajaan Mendahulukan Rakyat

Penerbangan Umrah Terus Kuala Terengganu-Jeddah adalah permulaan kepada agensi-agensi pengendali umrah untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebagai hab mengerjakan umrah dan kemudiannya haji di kalangan penduduk Pantai Timur. Kerajaan Negeri turut merancang bagi menyediakan penerbangan antarabangsa daripada lapangan terbang antarabangsa itu ke beberapa negara termasuk Indo-China, Thailand dan Bandung, Indonesia.

Analisis HAMBALI ABDUL LATIFF

Slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan tidak terbatas kepada mempertingkatkan keupayaan pentadbiran Kerajaan Negeri dan pembangunan fizikal yang menekankan kepentingan rakyat semata-mata.

Sebagai wadah kepada pengurusan pentadbiran yang mendahulukan rakyat, slogan merakyatkan pembangunan turut membabitkan usaha kerajaan negeri dalam soal ibadah haji apabila mulai tahun ini Kerajaan Terengganu memperkenalkan Anugerah Umrah.

Ia adalah sumbangan sosial kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ahmad bin Said selaras dengan slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang menyediakan pelbagai program bagi memaju dan kesejahteraan rakyat.


Langkah menawarkan Anugerah Umrah dengan memperkenalkan penerbangan umrah secara terus Kuala Terengganu – Jeddah ini turut membabitkan kerjasama Kerajaan Negeri dan swasta.

Malah, usaha ini turut membabitkan permulaan kepada agensi-agensi pengendali umrah untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebagai hab mengerjakan umrah dan kemudiannya haji di kalangan penduduk Pantai Timur.

Usaha tidak terbatas bagi penerbangan haji dan umrah sahaja kerana Kerajaan Negeri turut merancang bagi menyediakan penerbangan antarabangsa daripada lapangan terbang antarabangsa itu ke beberapa negara termasuk Indo-China, Thailand dan Bandung, Indonesia.

Walaupun ia di peringkat perancangan dan perbincangan dengan syarikat penerbangan yang berkaitan, namun usaha Kerajaan Negeri itu bertujuan memaksimumkan penggunaan lapangan terbang yang mempunyai kemudahan dan keupayaan untuk menggendalikan penerbangan antarabangsa.

Kepada Ahmad Said, peluang menunaikan umrah itu juga dibuka kepada kakitangan kerajaan negeri dengan kapasiti muatan 450 tempat duduk disediakan bagi satu-satu penerbangan.

Mengenai Anugerah Umrah ini, kerajaan Negeri bercadang mengadakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah, Arab Saudi untuk mengerjakan umrah bagi mereka yang terpilih secara berkala, iaitu setiap tiga bulan sekali.

Usaha bagi menjayakan rancangan ini dibuktikan apabila penerbangan pertama berlepas menerusi Lapangan Terbang Sultan Mahmud itu pada pukul 5.55 petang Jumaat lalu (18 Mac 2011) dengan pesawat MH8324 dan akan mengambil masa selama sembilan jam sebelum sampai di Jeddah.

Kumpulan pertama penerima Anugerah Umrah kerajaan negeri ini seramai 451 jemaah yang terdiri daripada para petugas operasi haji tahun lepas dan beberapa kakitangan kerajaan terpilih menunaikan umrah pada kali ini.

Penerbangan terus itu memudahkan jemaah dari Pantai Timur apabila dapat menjimatkan masa serta tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur.
"Saya berharap semua pihak akan memanfaatkan sepenuhnya peluang ini pada masa akan datang," katanya Naib Presiden Bahagian Haji dan Sewa Khas Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Kapten Nik Huzlan Nik Hussain selepas majlis keberangkatan jemaah Umrah Anugerah di LTSM, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Mazlan Ngah.
Program yang diperkenalkan ini membuktikan pentingkan jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan swasta yang ditunjukkan melalui kerjasama dengan syarikat AD Charter Services Sdn. Bhd.

Syarikat ini juga adalah penggendalikan operasi haji musim 2010 lalu.

Melalui jalinan kerjasama itu, syarikat berkenaan bersetuju menawarkan satu penerbangan umrah secara terus ke Jeddah dengan harga tiket penerbangan subsidi pada kadar RM1,500 termasuk cukai lapangan terbang.

Secara keseluruhannya, pakej harga umrah ditetapkan oleh syarikat berkenaan pada kadar minimum RM3,800 seorang termasuk tiket penerbangan dan penginapan.

Ia memperkenalkan tiga pakej yang ditawarkan oleh setiap agensi iaitu pakej biasa, sederhana dan kelas pertama di mana pemilihan pakej bergantung kepada tahap kemampuan jemaah.

Selain dengan syarikat berkenaan, kerjasama kerajaan negeri turut dijalin dengan empat agensi lain iaitu Zahafiz Travel & Tours Sdn. Bhd., Imtiyaz Travel & Tours Sdn. Bhd., Rayhar Travels Sdn. Bhd. dan TH Travel & Services Sdn. Bhd.

Sesungguhnya, usaha Kerajaan Negeri memaksimumkan penggunakan Lapangan Terbang Sultan Mahmud bermula pada musim haji lalu berjaya dilaksanakan membabitkan tujuh penerbangan terus daripada lapangan terbang itu apabila 2,387 jemaah haji terbabit dengan penerbangan terus Kuala Lumpur – Jeddah.

Daripada jumlah itu, 1,545 jemaah haji adalah dari Terengganu. Selainnya, Kelantan seramai 647 jemaah, Pahang sebanyak 109 jemaah dan 86 jemaah adalah dari negeri lain yang membuktikan kemudahan di lapangan terbang Kuala Terengganu itu setanding dengan kpupayaan lapangan terbang antarabangsa lain di negara ini.

Amat jelas bahawa dengan memperkenalkan penerbangan terus jemaah haji dan umrah, Kerajaan Negeri bukan sahaja membuktikan ia komited dengan sumbangan sosial tetapi juga menggerakkan Lapangan Terbang Sultan Mahmud kepada tahap penggunaan yang maksimum.

Dengan sendirinya usaha ini turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan usaha menjadikan lapangan terbang itu sebagai hab penerbangan di Pantai Timur semakin terserlah.

No comments:

Post a Comment