Tuesday, March 15, 2011

Peniaga Alat Komunikasi Dikesan Jual Video Lucah

Seorang peniaga alat komunikasi di sebuah pasar raya di sini, bukan saja menjual telefon bimbit, malah menawarkan klip video lucah percuma kepada pelanggannya semata-mata untuk melariskan jualan.

Malah, selain menawarkan klip video lucah percuma, kedai berkenaan turut menarik ramai pelanggan terutama remaja yang mahu mendapatkan klip video lucah serendah RM3 bagi setiap muat turun.

Bagaimanapun, urus niaga tidak bermoral itu tidak berpanjangan apabila Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKPFP) Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Terengganu berjaya mengesannya, bulan lalu.

Ketua BKPFP KDN Cawangan Terengganu, Mahdini Mustapa, berkata pihaknya mengesan taktik licik peniaga terbabit menjual klip video lucah selepas melakukan pemeriksaan rutin di premis itu yang dikendalikan pekerja lelaki dan wanita.

“Walaupun kita menemui klip video lucah itu dalam jumlah sedikit, kita mengarahkan pekerja terbabit memadamkan semua klip video lucah di depan penguat kuasa BKPFP dengan amaran supaya mereka tidak mengulangi kesalahan sama.

“Kita tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kerana ketika ini kerajaan mahu menumpukan perhatian terhadap pendidikan pencegahan,” katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh didenda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 5, Akta Penapisan Filem 2002 membabitkan filem lucah atau bahan publisiti filem lucah.

Mahdini bagaimanapun berkata, tindakan itu tidak bermakna peniaga yang menjual bahan terlarang itu akan dilepaskan begitu saja, sebaliknya bakal berdepan dengan undang-undang sekiranya melakukan kesalahan sama sebanyak tiga kali.

"Apa yang penting, ibu bapa perlu sentiasa memeriksa telefon bimbit anak masing-masing bagi mengelak mereka menyimpan bahan tidak bermoral seperti klip video lucah kerana ia menjadi satu punca kepada masalah sosial," katanya.

No comments:

Post a Comment